KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menyifatkan usaha untuk mendapatkan ganti rugi susulan pembatalan perolehan peluru berpandu ‘Naval Strike Missile’ (NSM) sebagai suatu proses yang sukar dan panjang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ia berikutan pihaknya tidak mendapat kerjasama daripada kerajaan Norway untuk membantu menyelesaikan isu berkenaan walaupun negara itu didakwa menjadi punca kepada masalah terbabit.
“Kita sudah mengemukakan permintaan supaya mereka membantu melalui pelbagai peringkat, termasuk Perdana Menteri, Menteri Luar dan saya sendiri.
“Namun, mereka langsung tidak membantu kita dalam usaha mendapatkan keputusan yang dapat memberi serta melindungi hak dan kepentingan kita.
“Jadi, kita terdedah hanya untuk membuat tuntutan terhadap pihak syarikat. Kita tahu apabila berhadapan dengan syarikat, mereka akan menggunakan pelbagai alasan dan sebagainya.
“Kita nampak ini akan menjadi satu proses yang panjang untuk mendapatkan penyelesaian kepada tuntutan kita,” katanya pada sidang media pada Majlis Perasmian Siber Siaga di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan sedang mempertimbangkan peruntukan baharu bagi membuat perolehan peluru SSM dari negara lain susulan proses tuntutan ganti rugi daripada kerajaan Norway yang mengambil masa panjang.
Mohamed Khaled dilaporkan berkata, peruntukan baharu itu perlu bagi mengelakkan aset kapal perang negara terbiar tanpa sistem peluru berpandu utama memandangkan syarikat pembekal di Norway dilihat cuba melengah-lengahkan pertikaian berkenaan dengan berselindung di sebalik terma kontrak.
Kerajaan Norway enggan mengambil langkah mendahulukan bayaran balik yang sudah dibuat Malaysia, sekali gus memaksa kementerian melihat tiga negara alternatif sebagai pengganti dengan julat harga antara RM700 juta hingga melebihi RM1 bilion.
Mohamed Khaled berkata, mengambil kira jangka masa proses tuntutan berkenaan, pihaknya berpendapat usaha melengkapkan kapal tempur pesisir (LCS) perlu dilakukan tanpa bergantung kepada keputusan tuntutan terhadap syarikat terbabit.
Katanya, kementeriannya perlu membawa perkara itu kepada kerajaan untuk membincangkan keperluan mendapatkan peluru berpandu baharu bagi menggantikan NSM yang tidak dapat diperoleh.
“Maksudnya, saya perlu membawa perkara ini kepada kerajaan untuk dibincangkan, termasuk keperluan yang perlu ditampung bagi menggantikan peluru berpandu yang tidak dapat diperoleh itu dengan peluru berpandu baharu.
“Perkara itu perlu melalui pelbagai proses pertimbangan antaranya tempoh penghantaran dan sama ada peluru berpandu baharu itu boleh diintegrasikan dengan sistem pengurusan tempur (CMS) kapal yang sudah hampir siap.
“Jadi, kena faham kerumitan isu yang kita sedang hadapi dan tidak ada kerjasama sepenuhnya daripada syarikat yang terbabit,” katanya. -BH Online
