KUALA LANGAT: Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakan Mega Nutrisi Selangor (NUTRISEL) pada pertengahan bulan ini melibatkan lebih 900,000 murid dan pelajar di lebih 900 sekolah di seluruh negeri secara serentak.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan berskala besar itu untuk menguji pendekatan pemberian bantuan makanan kepada keseluruhan murid dan pelajar di Selangor berbanding pelaksanaan NUTRISEL sebelum ini yang menyasarkan penerima terpilih.
Beliau berkata pelaksanaan Mega NUTRISEL itu juga membolehkan kerajaan negeri mengenal pasti aspek yang perlu ditambah baik, termasuk jenis produk makanan yang disediakan.
“Berdasarkan sambutan setakat ini, semuanya berjalan dengan baik termasuk mendapat tambahan RM2 juta daripada peruntukan sedia ada supaya NUTRISEL boleh diperkasakan, antaranya menambah produk seperti susu dan roti kepada penerima,” katanya.
Amirudin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Simbolik Penyerahan Program NUTRISEL 2026 Peringkat Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Panglima Garang di sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan 746 pek makanan NUTRISEL mengandungi roti, air, nasi lemak dan buah-buahan serta kipas mudah alih kepada murid dan pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK) dan SMK Telok Panglima Garang.
Program NUTRISEL dari Ogos hingga Oktober 2026 melibatkan peruntukan keseluruhan RM12.6 juta yang disalurkan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
Amirudin berkata pelaksanaan NUTRISEL di Kuala Langat memberikan manfaat kepada 8,616 penerima di 78 sekolah daripada keseluruhan 65,684 murid dan pelajar di bawah pentadbiran MPKL.
Jumlah keseluruhan penerima setakat ini ialah 104,640 orang meliputi pelbagai kategori di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) melibatkan 916 sekolah dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan 16 sekolah, bersamaan kira-kira 10 peratus daripada jumlah murid dan pelajar di Selangor.
Program itu bertujuan membantu meringankan beban kewangan keluarga B40 berpendapatan isi rumah di bawah RM2,000, selain memastikan murid dan pelajar mendapat nutrisi mencukupi untuk menyokong mereka memberi tumpuan dalam pembelajaran.– BERNAMA
