Jangan gunakan agama sebagai tunggangan untuk mencapai hasrat politik.
Itu reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang dukacita terhadap kenyataan dikeluarkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.
Ahmad Zahid berkata, nasihat itu bukan sahaja ditujukan kepada individu dan pemimpin parti politik sahaja sebaliknya pemimpin dalam UMNO.
Menurutnya, beliau menghargai titah Tuanku itu dan ia juga sebagai amaran kepada sesiapa sahaja supaya tidak melakukan perkara sama pada masa depan.
“Kita semua maklum bahawa soal agama, soal hukum dan soal fatwa harus dijadikan sebagai batu sempadan untuk kita memberikan pandangan dan pendapat.
“Tetapi jika masalah-masalah hukum sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran, hadis, kias dan ijtimak ulama maka, saya tidak perlu menasihatkan mana-mana pemimpin parti yang ada latar belakang agama untuk mengikut landasan itu.
“Tapi jangan gunakan agama sebagai tunggangan utk mencapai hasrat politik,” katanya.
Sebelum ini, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Abdul Hadi Awang bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ yang dikeluarkan pada 20 Februari lalu menerusi portal berita pas.org.my.
Kenyataan Abdul Hadi itu dipercayai ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim, Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.
Menurut Selangor Royal Office dalam kenyataan memaklumkan, Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari lalu. – KOSMO! ONLINE