Sorting by

×

Perak mengharapkan pembukaan kilang pembuatan filem panel solar oleh syarikat China, Zheijang Sinopont Technology Co. Ltd. (Sinopont) dapat menawarkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi kepada anak tempatan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kilang solar itu yang akan memulakan pengeluaran menjelang suku pertama 2024 telah berjaya mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan buat masa ini.

“Saya yakin kilang ini juga akan menjadi pemangkin baharu bagi pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya semasa merasmikan pembukaan kilang itu di Kawasan Perindustrian Tasek di sini hari ini.

Pelaburan bernilai RM2 bilion itu berupaya menghasilkan enkapsulasi filem sel solar dengan kapasiti pengeluaran 85 juta meter persegi bagi menampung permintaan 10 gigawatt, dan merupakan kilang pertama Sinopont yang beroperasi di luar China.

Saarani berkata, beliau berpeluang melawat ibu pejabat Sinopont di China pada Oktober tahun lalu, dengan pelbagai perbincangan diadakan termasuk mengenai pembukaan kilang terbaharu di Perak.

“Hari ini saya rasa amat bersyukur, melihat kerjasama itu direalisasikan dan sudah tentu akan memberikan manfaat besar kepada rakyat serta merancakkan lagi pembangunan ekonomi negeri.

“Melalui pembangunan fasa-fasa seterusnya, lebih banyak peluang pekerjaan bakal diwujudkan yang seterusnya memacu lebih banyak pelaburan dan kemakmuran ke negeri Perak,” katanya.

Semasa lawatan ke China itu juga, beliau berkesempatan bertemu sekumpulan staf terdiri daripada anak Perak yang menjalani latihan intensif dan pemindahan teknologi bersama Sinopont di Hangzhou. – KOSMO! ONLINE