Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Nasib dua penerjun negara mengenai kedudukan mereka dalam Program Road To Gold (RTG) berkemungkinan akan ditentukan hujung bulan ini dalam satu mesyuarat membabitkan jawatankuasa program berkenaan.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, beliau enggan memberikan jawapan khusus mengenai RTG buat masa sekarang dan hanya meminta semua pihak bersabar sehingga mesyuarat berkenaan diadakan.

“Saya tahu ramai hendak bertanyakan mengenai sukan terjun, namun perlu menunggu sehingga mesyuarat RTG bulan depan,” katanya ketika ditemui media di Majlis Menandatangani Penajaan CIMB Group Holdings Berhad kepada pemain golf negara, Ervin Chang.

Ujar Hannah, dalam mesyuarat itu nanti turut akan dibincangkan mengenai kriteria atlet untuk dipilih menyertai Program RTG Los Angeles 2028.

“Saya sendiri pasti rasa kecewa (dengan kegagalan atlet terjun) tetapi saya mahu mendengar penjelasan persatuan sukan, jurulatih dan juga pengarah teknikal. Sekarang Majlis Sukan Negara (MSN) sedang menyusun atur untuk berjumpa dengan mereka.

“Dalam ucapan saya tadi ia merujuk kepada portfolio belia dan sukan. Belia kita perlu memberi sokongan kepada mereka kerana peluang kedua itu wujud. Sukan pula berdasarkan prestasi kerana dalam perjalanan mereka ada naik dan turun,” katanya.

Tambah Hannah, ia adalah satu cabaran buat mereka untuk melihat sama ada bantuan harus terus diberikan walaupun ada atlet gagal.

“Ia satu cabaran tidak senang untuk membuat keputusan, ada atlet yang jatuh perlu bangun semula. Ia bukan keputusan menteri sahaja saya perlu mendapatkan bantuan pakar,” katanya.

Dua penerjun negara Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri adalah atlet terkini dalam Program RTG yang gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris selepas gagal di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha minggu lalu.

Dalam pada itu, Hannah berterima kasih kepada CIMB dan mengakui sukan sangat memerlukan kerjasama korporat serta swasta.

“Terima kasih kepada CIMB kerana banyak melabur dalam pembangunan sukan di Malaysia. Kami mengalu-alukan banyak lagi pihak swasta untuk mencari atlet yang boleh diberikan sokongan. Ia bagi membolehkan mereka tidak berdepan dengan gangguan kewangan untuk melonjakkan ranking mereka (atlet),” katanya.-HM Online