Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia antara pemungut hasil cukai terendah di Asia Tenggara dengan nisbah cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada pada 11.8 peratus.

Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Must) Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, Malaysia tertinggal di belakang Singapura serta Thailand, dan sedang berusaha untuk mengejar. Kedua-duanya menggunakan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) termasuk Nilai Tambah (VAT).

“Kita sebenarnya jauh tertinggal disebabkan negara jiran mengguna pakai GST dan baru-baru ini misalnya, Singapura meningkatkan kadar cukai, jadi, kutipan cukai kita masih jauh lebih rendah.

“Semasa mengenakan GST dahulu, Malaysia mengutip sehingga RM40 bilion, sekarang dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kita hanya kutip kurang daripada RM30 bilion dan hasil daripada sektor perkhidmatan tidak sampai separuh,” katanya kepada Bernama.