Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr A Samad Said atas pemergian isterinya, Datin Seri Saleha Abdul Rashid atau lebih dikenali sebagai Salmi Manja yang meninggal dunia semalam.
“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Salam takziah buat Datuk Seri A Samad Said sekeluarga di atas kehilangan isteri tercinta beliau.
“Allahyarham Saleha Rashid @ Salmi Manja, bekas wartawan dan penulis tersohor meninggal dunia semalam. Semoga seluruh keluarga Allahyarham tabah dengan ujian ini. Al-Fatihah,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Semalam, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan Allahyarhamah Saleha, 87, menghembuskan nafas terakhir kerana sakit tua di kediamannya di Subang Jaya pada tengah hari.
Allahyarham Saleha adalah bekas wartawan, penyair dan novelis dalam kalangan pengarang wanita profesional generasi pertama di Malaysia, selain ahli Angkatan Sasterawan ’50 (ASAS 50). – BERNAMA