Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan Thailand memberi jaminan cadangan pembinaan pelabuhan dan jambatan darat yang dirancang bagi memintas laluan perkapalan di Selat Melaka, akan turut membabitkan kerjasama Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Kerajaan Thailand menjelaskan cadangan pembinaan kemudahan baharu di selatan Thailand itu masih di peringkat awal, namun dijangka turut memberi manfaat kepada Malaysia.

Beliau yang melakukan lawatan kerja ke Sadao dan mengadakan pertemuan serta perbincangan tertutup dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin, dekat sini hari ini, berkata setakat ini Malaysia masih belum memutuskan sama ada akan menyertai projek terbabit.

Malaysia juga, kata Anwar, belum memutuskan sama ada mendapatkan ekuiti dalam rancangan pembinaan pelabuhan dan jambatan darat berkenaan yang dianggar bernilai berbilion ringgit.

“Dalam perbincangan tadi, Perdana Menteri Thailand (Srettha Thavisin) sebut akan babitkan Malaysia dan ia akan turut beri manfaat kepada negara ini terutama utara Semenanjung.

“Bagi kita, ada faedah dan manfaat kemudahan di situ, cuma secara terperinci sama ada kita akan menyertainya atau ada ekuiti masih terlalu awal,” katanya pada sidang media di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Bukit Kayu Hitam.

Sebelum ini, Thailand mengemukakan cadangan projek membina pelabuhan dan jambatan darat bagi mengurangkan masa perkapalan antara Lautan Hindi dan Pasifik dengan mengelak Selat Melaka, laluan laut utama yang sibuk.

Thavisin dilaporkan memberitahu pelabur di San Francisco bahawa projek itu boleh memendekkan masa perjalanan kira-kira empat hari dan mengurangkan perbelanjaan perkapalan sebanyak 15 peratus.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin turut melawat Kompleks CIQS Sadao yang masih dalam pembinaan dan membincangkan isu berkaitan jajaran baharu laluan pintu masuk utama darat antara dua negara terbabit.

Anwar berkata, Malaysia komited menyelesaikan isu jajaran baharu berkenaan bagi menyelesaikan masalah kesesakan trafik yang berlarutan di pintu sempadan sedia ada ketika ini.

Katanya, pembinaan laluan baharu itu diyakini mampu memacu pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara terutama di kawasan sempadan dan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan Thailand.

“Kalau kita lihat (pembinaan) CIQS Sadao lebih cepat berbanding kita. Walaupun CIQS kita lebih awal (siap) daripada Thailand, yang tertangguh adalah jalan yang perlu kita siapkan segera, tapi mengambil sikit masa kerana menyentuh laluan kawasan tentera.

“Kita akan berunding dalam tempoh dua minggu untuk memuktamadkan. Saya tak mahu perkara ini tertangguh lagi kerana sikap kerajaan Thailand sekarang lebih lunak dan akrab, mahu menjadikan kawasan utara Semenanjung dan selatan Thailand sebagai kawasan pertumbuhan baharu,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia turut menyatakan hasrat meneruskan rancangan pembinaan jambatan baharu Rantau Panjang menyeberang Sungai Golok yang belum dapat dilaksanakan sehingga kini.

“Jambatan Rantau Panjang ke Golok kita sudah bersedia (pelaksanaan projek) dan tunggu Perdana Menteri Thailand beri jawapan kerana keputusan perbincangan adalah untuk ia dilaksana selewat-lewatnya tahun hadapan.

“Sekiranya Thailand setuju, kita boleh dapatkan kelulusan Laporan Impak Alam Sekitar (EIA) dan segerakan pembinaan jambatan, saya akan maklumkan kepada Kabinet pada Jumaat ini untuk segerakan perkara ini,” katanya.-BH Online