DAP menyifatkan Perikatan Nasional (PN) semakin terdesak apabila parti itu mendedahkan masih berusaha untuk menarik sokongan UMNO.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata tindakan itu juga menunjukkan parti gabungan itu mahu mengganggu gugat kestabilan negara yang sudah dicapai melalui Kerajaan Perpaduan.
“Memang ini menunjukkan mereka terdesak, tak pernah berputus-asa nak memporak peranda dan mengkucar-kacirkan kestabilan politik.
“Apa yang sudah ada hari ini sebenarnya sudah cukup baik, kerajaan stabil, kerajaan boleh melaksanakan tanggungjawab dan tugasnya.
Usaha seperti itu amat tidak bertanggungjawab,” katanya kepada media selepas turun berkempen di Chukai, Kemaman, malam tadi.
Sebelum ini, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan PN masih berusaha menarik sokongan pemimpin UMNO yang tidak menyokong kerjasama parti itu dalam kerajaan perpaduan untuk bergabung dengan mereka.
Katanya, pencalonan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman adalah persediaan untuk PN mengambil alih pentadbiran kerajaan.
“PRK bukan untuk Kemaman sahaja, besar untuk Malaysia seluruhnya. Ini untuk menambah, pertahankan kerusi Melayu, PN yang ada.
“Kita sedang memujuk lagi UMNO, kerana UMNO bukan semua sokong PH (Pakatan Harapan), …sedang pujuk lagi pihak lain untuk bergabung,” katanya seperti dilaporkan.
Dalam pada itu, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata titah Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya semua pihak memastikan kerajaan stabil juga tidak dihiraukan PAS.
“Sedangkan Yang di-Pertuan Agong berkali-kali bertitah supaya pastikan kerajaan stabil dan tidak lagi ada kucar-kacir politik dan fokus bangunkan negara.
“Tetapi mereka ini tak habis-habis berangan nak rampas kerajaan. Tunggulah sampai pilihan raya,” katanya.
Sementara itu ketika ditanya mengenai kempen PAS di Kemaman yang banyak menyentuh isu hubungan UMNO dan DAP, Loke berkata perkara itu menunjukkan PN ketandusan modal.
Beliau berkata, tidak ada yang perlu digusarkan mengenai kerjasama antara Umno dan DAP.
“Jadi hari ini apa yang kita takutkan? Saya boleh turun bersama dengan pemimpin UMNO, berkempen bersama orang lama UMNO, Ahmad Said. Tak ada masalah kita turun ke kawasan pengundi Cina, pergi ke kedai kopi berceramah.
“Kalau kita terlalu taasub kepada sentimen lama ini tak akan membawa ke mana-mana. Kalau asyik nak mainkan sentimen, jangan lupa PAS pun pernah bekerjasama dengan DAP, jadi apa masalahnya?” katanya.