Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menghasut membabitkan kenyataan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sabitan empat pertuduhan ke atas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Razali, 57, yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Terengganu mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim, N Priscilla Hemamalini.
“Saya mengaku tidak bersalah dan bersedia untuk dibicarakan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Razali didapati menyebut perkataan menghasut di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu, jam 9.30 malam hingga 11.30 malam, 10 November lalu.
Pendakwaan mengikut Perenggan 4(1) (b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.-BH Online