Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menafikan khabar angin mengenai kemungkinan Indonesia menarik diri daripada menyertai temasya Sukan SEA 2027 yang bakal berlangsung di Malaysia.

Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang kenyataan rasmi daripada Indonesia berhubung perkara berkenaan dan menganggap isu itu sekadar khabar angin.

“Saya menghormati segala pandangan yang dilontarkan bukan sahaja oleh netizen tetapi daripada semua pihak. Namun, saya yakin tema yang kita pilih kali ini adalah ‘Celebrating Unity’ kerana kita mahu meraikan perpaduan.

“Ini adalah temasya kekeluargaan iaitu keluarga ASEAN. Saya yakin dan percaya setiap negara mempunyai kebijaksanaan masing-masing untuk memastikan perpaduan dalam ASEAN terus dipertahankan dan diperkukuhkan.

“Setakat hari ini tiada sebarang kenyataan rasmi. Jadi, saya anggap itu hanyalah cakap-cakap netizen sahaja,” katanya selepas majlis pelancaran portal rasmi Sukan SEA 2027, di sini, hari ini.

Sebelum ini, timbul kemarahan dalam kalangan warganet Indonesia apabila beberapa acara yang memberi kelebihan pingat emas kepada mereka tidak dipertandingkan pada temasya kali ini.

Untuk rekod, 10 acara sukan tidak dipertandingkan pada Sukan SEA 2027, termasuk lapan acara yang menjadi pilihan Indonesia iaitu sukan panjat dinding (wall-climbing), mendayung, bola tampar pantai, gusti, kickboxing, jujitsu, catur dan bola baling.

Selain itu, acara badminton berpasukan lelaki dan wanita turut tidak disenaraikan dalam temasya berkenaan.

Dalam pada itu, Taufiq turut memaklumkan terdapat perubahan terbaharu yang dimuktamadkan membabitkan lokasi acara endurance yang akan berlangsung di Terengganu, manakala acara karate dipindahkan dari Putrajaya ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).

Katanya, keputusan itu dibuat selepas penilaian dan penelitian bersama jawatankuasa berkaitan dengan mengambil kira kesesuaian lokasi serta pengalaman penganjuran sebelum ini. -BH Online