Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Ibu bapa digesa mengamalkan semula budaya membaca bersama anak-anak di rumah bagi membendung ancaman ketagihan skrin yang menjejaskan generasi muda.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, usaha memupuk tabiat membaca perlu dijadikan sebahagian daripada gaya hidup dan bukannya sekadar hobi.

“Langkah ini penting bagi memastikan anak-anak tidak terjerumus ke dalam fenomena ‘the scrolling generation’ (generasi yang kerap menatap skrin telefon) sehingga mematikan amalan membaca.

“Ada beberapa pendekatan praktikal yang boleh dimulakan oleh ibu bapa di rumah termasuk membaca atau berkongsi cerita kepada anak-anak sebelum mereka tidur.

“Selain itu, ibu bapa juga boleh menyediakan pelbagai buku secara berterusan bagi menyokong pembacaan progresif mengikut perkembangan anak-anak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan HIPMaXMalaysian Folklore Storyfest: Folktales Reimagined Grand Finale Showcase 2026 di Perpustakaan Negara Malaysia, di sini, hari ini. 

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

Fadhlina berkata, kurikulum baharu pendidikan menerapkan sesi bacaan bersama bermula dari prasekolah sehingga ke sekolah rendah serta sekolah menengah bagi menyokong budaya membaca di peringkat sekolah. 

“Langkah memperkasa budaya membaca juga dijangka dapat mengukuhkan sokongan pendidikan daripada usaha golongan ibu bapa sendiri.

Melalui pendedahan kepada lebih banyak buku dan bahan bacaan, anak-anak bukan sahaja dapat memperluas pengetahuan malah berupaya membina emosi yang stabil serta membentuk identiti diri positif,” katanya.-BH Online