ALOR GAJAH: Pelancaran dua model kenderaan hibrid baharu keluaran EP Manufacturing Bhd (EPMB) dijangka memperkukuh kedudukan Melaka sebagai hab pembuatan automotif, selain meningkatkan kapasiti pengeluaran dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di negeri itu.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh, berkata pengenalan model kenderaan pelbagai guna (MPV) HEV GWM Wey G9 dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Hibrid GWM EC15S merupakan satu lagi pencapaian penting dalam perkembangan industri automotif negeri, khususnya dalam peralihan daripada pembuatan komponen kepada pemasangan kenderaan lengkap untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
“EPMB kini memasuki fasa perkembangan yang lebih besar apabila bukan sahaja terlibat dalam pemasangan empat model kenderaan Great Wall Motor (GWM), malah turut memasang kenderaan jenama SAIC-MG dan XPeng di kilangnya di Pegoh di sini.
“Ini merupakan kemajuan yang ingin kita lihat di Melaka, iaitu lebih banyak pelaburan, peningkatan kapasiti pengeluaran dan yang paling penting lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Melaka,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Pengeluaran GWM Wey G9 dan EC15S yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah.
Ab Rauf berkata, Melaka mempunyai asas perindustrian yang kukuh menerusi kawasan perindustrian sedia ada, infrastruktur moden, jaringan perhubungan yang baik, tenaga kerja berkemahiran serta rangkaian pembekal tempatan yang semakin berkembang.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri bersedia untuk menaik taraf kemudahannya termasuk menambah stesen pemasangan serta meningkatkan keupayaan pemeriksaan dan penghantaran kenderaan bagi menyokong pengembangan operasi syarikat pada masa depan.
“Pada tahun lalu, sektor pembuatan terus menjadi antara pemacu utama ekonomi Melaka, dengan menyumbang 35.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri yang mencecah RM50.3 bilion.
“Justeru, kerajaan negeri akan terus memudah cara segala aspek melibatkan sektor pelaburan, memperkukuh penyelarasan antara agensi kerajaan serta menyediakan infrastruktur yang diperlukan bagi menyokong perkembangan sektor berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata Melaka kini mempunyai 195 unit pengecas kenderaan elektrik (EV) di 95 lokasi dan tambahan 10 unit dirancang dibina menjelang akhir 2026 bagi mencapai sasaran 300 unit pengecas menjelang tahun depan.
“Inilah yang saya maksudkan apabila mengatakan Melaka sentiasa bersedia. Kita bukan sahaja bersedia menerima pelaburan, malah menyediakan infrastruktur, tenaga kerja dan ekosistem yang tepat untuk industri berkembang, berinovasi dan mencapai kejayaan.
“Saya percaya apabila kerajaan dan industri bergerak ke hadapan dengan visi bersama, pelaburan akan membuka peluang, inovasi akan membawa kemajuan dan pertumbuhan industri akan membawa kemakmuran kepada rakyat,” katanya.-BERNAMA

