Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Jenazah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali akan dibawa ke Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah, di sini untuk disolatkan, petang ini. 

Difahamkan, jenazah akan disolatkan selepas solat Asar di masjid berkenaan petang ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya.

Terdahulu, jenazah dibawa pulang ke kediaman di The Mines, Seri Kembangan, Selangor dari Institut Jantung Negara (IJN), di sini, pada 10.48 pagi tadi. 

Allahyarhamah Dr Siti Hasmah adalah antara wanita Melayu terawal yang bergelar doktor perubatan sebelum mencurahkan khidmat dalam bidang kesihatan awam negara.

Dilahirkan di Kampung Jawa, Klang, Selangor, pada 1926, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura, menerusi biasiswa kerajaan dan satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya.

Di situlah beliau bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum mereka berkahwin pada 1956.

Beliau bukan sahaja dikenali sebagai pendamping setia Dr Mahathir, malah turut meninggalkan jasa besar menerusi pelbagai usaha memperkasakan kesihatan ibu, kanak-kanak dan kesejahteraan masyarakat. -BH Online