Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan akan membangunkan ‘fiqh mualaf’ sebagai garis panduan jelas bagi membimbing kehidupan golongan saudara baharu di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata pembangunan fiqh mualaf akan diterajui Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dengan kerjasama agensi agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

“Kerangka ini akan memberikan panduan, parameter dan dawabit kepada saudara mualaf kita dalam menjalani kehidupan selari dengan ajaran al-Quran dan sunnah.

“Barangkali inilah akan menjadi satu kerangka rujukan dan bimbingan kepada mualaf, yang juga boleh dirujuk semua pihak supaya kita dapat mewujudkan keharmonian di negara ini,” katanya selepas Sidang Meja Bulat Dakwah Mualaf di sini, tadi.

Yang turut hadir, Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil.

Mengenai garis masa pelaksanaan, Zulkifli berkata, kerajaan tidak mahu terburu-buru menetapkan tarikh akhir kerana penyediaan dokumen memerlukan penelitian terperinci bagi memastikan hasilnya kemas dan menyeluruh.

Beliau berkata, kajian dan sesi libat urus akan dilaksanakan merangkumi pelbagai aspek praktikal kehidupan mualaf termasuk isu perkahwinan, pernikahan, pendaftaran, sambutan perayaan agama, hubungan kekeluargaan serta budaya.

“Ini sangat diperlukan supaya wujud satu kerangka yang bukan hanya orang Islam memahaminya, malah masyarakat bukan Islam dan keluarga mualaf juga, sekali gus mewujudkan keharmonian kita dambakan,” katanya.

Terdahulu, Zulkifli dalam ucapannya mencadangkan penganjuran konvensyen atau festival mualaf berskala besar bagi mengetengahkan kisah kejayaan saudara baharu kepada masyarakat.

“Kita kena mengetengahkan mualaf berjaya untuk memberi motivasi dan inspirasi kepada semua,” katanya. -BH Online