Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan mengenal pasti peluru berpandu antikapal (NSM) Atmaca keluaran syarikat Roketsan dari Turkiye sebagai pilihan pengganti kepada Naval Strike Missile (NSM) dari Norway yang diperuntukkan untuk kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pemilihan Turkiye dibuat selepas kementerian menilai cadangan dikemukakan tiga negara termasuk Perancis dan Itali berdasarkan aspek harga, tempoh penyerahan serta kos permulaan yang perlu ditanggung kerajaan.

Beliau berkata, kementerian akan memulakan rundingan lanjut dengan pihak Turkiye sebelum memuktamadkan perolehan peluru berpandu berkenaan bagi menggantikan NSM yang sepatutnya dibekalkan Norway.null

“Kita putuskan bahawa peluru daripada Turkiye itu adalah yang terbaik untuk kita pertimbang bagi menggantikan peluru berpandu NSM daripada Norway.

“Kita akan berurusan dengan pihak negara berkenaan untuk kita runding lebih lanjut supaya kita dapat memuktamadkannya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Inovasi Peringkat MINDEF Tahun 2026 di sini, hari ini. 

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.

Mohamed Khaled berkata, Turkiye turut memberi jaminan berhubung kesesuaian sistem peluru berpandu itu dari segi keserasian dan integrasi dengan sistem pengurusan tempur (CMS) kapal.

Menurutnya, sekiranya proses tempahan berjalan lancar, misil berkenaan dijangka dapat dibekalkan seawal 2028 berikutan terdapat bekalan yang boleh diperoleh lebih awal menerusi tempahan untuk Kapal Misi Pesisir (LMS).

“Peluru berpandu itu sama dengan yang kita tempah untuk kapal LMS kita, yang kita sudah tempah. Jadi kita tak ada masalah. 

“Jadi, sekiranya kita tidak mempunyai tempahan peluru berpandu untuk kapal LMS dan perlu membuat pembelian baharu, proses itu mengambil masa 30 bulan atau kira-kira dua tahun setengah, boleh dikatakan tiga tahun. Jadi maknanya, kalau kita buat tempahan, kita boleh menerima bekalan pada 2029.

“Tetapi oleh kerana kita sudah tempah untuk LMS kita akan dapat awal kerana ada peluru berpandu itu yang boleh dibekalkan awal, mungkin 2028,” katanya. 

Terus rundingan penyelsaian dengan Norway

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, MINDEF akan meneruskan proses penyelesaian pertikaian dengan Norway berhubung kegagalan pembekalan misil NSM yang sudah dibayar.

Katanya, rundingan penyelesaian secara baik antara kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan sebelum kementerian memasuki peringkat kedua iaitu penubuhan Jawatankuasa Penyelesaian Pertikaian (Dispute Resolution Committee).

“Sekiranya proses itu gagal, Malaysia akan meneruskan tindakan melalui timbang tara seperti yang diperuntukkan dalam kontrak perolehan berkenaan,” katanya. 

Kerajaan Norway sebelum ini dilaporkan telah membatalkan lesen eksport peluru berpandu anti-kapal NSM ke Malaysia, serta sistem pelancar yang berkaitan atas alasan perlu melindungi keselamatan negaranya.

Berdasarkan laman web KDA, perolehan NSM tersebut telah ditandatangani antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan KDA pada April 2018, dengan nilai kontrak sebanyak €124 juta (RM571.9 juta) bagi melengkapi enam LCS pada ketika itu. -BH Online