Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA TENGAH: Barisan Nasional (BN) menyifatkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) mampu diterjemahkan kepada sokongan lebih baik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk daripada pengundi bukan Melayu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama berkenaan memperlihatkan keserasian yang baik antara parti-parti yang sebelum ini mempunyai perbezaan politik.

“Dan saya harap ia bukan sekadar untuk menyatukan minda dan dokongan kedua-dua parti yang berseteru lebih daripada lima dekad.

“Tetapi kita telah mencuba di Negeri Sembilan dan ini kali kedua di Negeri Melaka. Kita harap insya-Allah, kita dapat terjemahkan dengan sebaik-baiknya kerjasama ini dalam bentuk sokongan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas PMajlis Perjumpaan Timbalan Perdana Menteri Bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Melaka, di sini pada Khamis.

Mengulas sokongan pengundi Cina, Ahmad Zahid berkata BN mengharapkan pertambahan sokongan daripada kelompok itu, mengambil kira cabaran yang dihadapi golongan peniaga ketika ini.

Menurutnya, maklum balas daripada golongan perniagaan dan tokoh korporat menunjukkan mereka berdepan kesukaran untuk menjalankan perniagaan dalam keadaan ekonomi semasa.

Sehubungan itu, beliau berharap pengundi Cina memberikan kepercayaan kepada BN dan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri  Ab Rauf Yusoh.

“Kita mengharapkan pertambahan sokongan pengundi-pengundi Cina sebab kita tahu bahawa mereka agak sukar untuk menjalankan perniagaan sekarang ini.

“Jika mereka memberikan kepercayaan kepada kita, kita akan lakukan yang terbaik untuk memudahkan mereka berniaga dan menjalankan urusan harian dengan lebih baik,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai Hari Pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

BN meletakkan calon di 23 kerusi, manakala PN bertanding di lima kerusi pada PRN Melaka.-Astro Awani