Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH: Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali akan sentiasa dikenang atas perkhidmatan puluhan tahun dalam profesion perubatan serta sumbangan pelopornya terhadap sektor kesihatan awam negara, khususnya kesihatan ibu dan anak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad merakamkan penghargaan tinggi terhadap Dr Siti Hasmah sebagai tokoh perubatan disegani yang memainkan peranan penting dalam memajukan kesihatan awam, kesihatan keluarga dan kesejahteraan masyarakat.

Beliau berkata, jasa dan bakti Allahyarham sebagai doktor serta pemimpin wanita meninggalkan warisan berpanjangan dalam pembangunan perkhidmatan kesihatan dan komuniti di negara ini.

“Tun Dr Siti Hasmah bukan sahaja tokoh perubatan yang dihormati, malah pelopor dalam pembangunan kesihatan awam, terutamanya dalam bidang kesihatan ibu dan anak, kesihatan keluarga serta kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata demikian sebelum menyampaikan ucapan perasmian ‘World Self-Harm Awareness Day’ di Kolej Poly-Tech MARA Meru, di sini, hari ini.

Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi ini.

“Ini sudah tentu satu berita yang amat mendukacitakan,” kata Dr Dzulkefly.

Katanya, Dr Siti Hasmah menumpukan perkhidmatannya selama puluhan tahun untuk negara dan sumbangan itu akan terus dikenang.

“Sumbangan Allahyarham kepada profesion perubatan, kesihatan awam dan pembangunan masyarakat sudah pasti akan diingati oleh generasi akan datang,” katanya.

Beliau turut menyampaikan salam takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh ahli keluarga atas pemergian Allahyarham.

“Bagi pihak seluruh warga Kementerian Kesihatan, saya menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang dicurahkan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah kepada negara,” katanya.

Dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Klang, Selangor, Dr Siti Hasmah merupakan antara wanita Melayu terawal menjadi doktor di Malaysia sebelum terus menabur bakti dalam bidang perubatan, kesihatan awam dan kerja sosial.

Allahyarham melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura dan menamatkan pengajian pada tahun 1955. -BH Online