Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat 2026 masih memerlukan pelbagai penambahbaikan menyeluruh sebelum ia dimuktamadkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pihaknya dalam proses penelitian yang tidak hanya membabitkan teks.

Sebaliknya, turut melihat aspek praktikal, mekanisme aplikasi yang jelas serta mudah dilaksanakan di pelbagai peringkat kerajaan.

“Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) terbuka mendengar segala pandangan, kritikan serta maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil dan pihak media.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya melihat perkara ini daripada satu prinsip yang mudah.

“Ini kerana undang-undang yang baik bukan hanya mempunyai niat yang baik.

Ia juga harus mempunyai tuntutan yang jelas dan mekanisme aplikasi yang dapat difahami,” katanya pada Sesi Pendengaran Awam (National Town Hall) Mengenai Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat 2026 di Parlimen, hari ini.

Azalina berkata RUU itu sudah pun dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu dan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas pada 14 Julai.

Beliau berkata, pihaknya menerima pelbagai maklum balas terhadap RUU berkenaan dan mengambil maklum perkara yang perlu diperbaiki.

Katanya, antara isu utama yang menjadi tumpuan dalam sesi penelitian itu merangkumi skop maklumat yang wajar diakses oleh orang awam, kebebasan pihak media, proses permohonan yang lebih praktikal, mekanisme mencabar atau penyemakan keputusan penolakan serta perlindungan sewajarnya kepada agensi awam.

“RUU ini hanya memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan di Parlimen.

“Namun kerjasama erat pelbagai pihak termasuk pembangkang dan pemegang taruh penting bagi memastikan reformasi institusi negara ini benar-benar membawa kesan bermakna,” katanya.

Sementara itu, sesi pendengaran hari ini diadakan bagi memperluas penyertaan pihak berkepentingan dan masyarakat awam dalam proses penelitian RUU berkenaan.

Ia bagi memastikan isu-isu utama berkaitan kerangka RUU itu dipertimbangkan secara menyeluruh, sebelum syor dan pandangan jawatankuasa dimuktamadkan.

Penggubalan RUU Kebebasan Maklumat 2026 adalah antara komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik.

Ia untuk meningkatkan lagi akses rakyat kepada maklumat rasmi kerajaan secara teratur dan berlandaskan undang-undang. -BH Online