Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

BANGI: Pelaksanaan kesemua pindaan Akta Bantuan Guaman yang sudah diluluskan di Parlimen dijangka bermula pada suku pertama tahun depan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata langkah itu seiring dengan penubuhan Pejabat Pembelaan Awam di bawah Jabatan Bantuan Guaman (JBG) yang menerima waran perjawatan daripada Kementerian Kewangan membabitkan 143 kakitangan.

Katanya, pejabat itu akan diterajui seorang pegawai Jawatan Utama Sektor Awam Gred C (JUSA C) dan akan bergerak seiring dengan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) bagi membentuk landskap baharu perkhidmatan bantuan guaman negara.

“Ini adalah satu landskap baharu bagi JBG kerana ketika perbahasan pindaan akta itu kita melihat peranan yang perlu dimainkan kerajaan bersama YBGK memandangkan banyak peruntukan kewangan kerajaan disalurkan terus kepada yayasan berkenaan.

“Sekarang, kita akan mewujudkan Pejabat Pembelaan Awam untuk bergerak seiring dengan YBGK dan mereka akan meneruskan perbincangan ke arah itu. 

“Kita mahu melonjakkan perkhidmatan bantuan guaman daripada aspek tradisional kepada pendekatan lebih baharu seperti termaktub dalam pindaan terkini Akta Bantuan Guaman yang pelaksanaannya dijangka bermula pada suku pertama 2027,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Sijil Profesional Perantaraan dan Pelancaran Buku Panduan Pusat Mediasi Madani (PMM), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Bantuan Guaman, Mohd Radhi Abas dan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Datuk Dr Sharifudin Md Shaarani.

Mengulas mengenai pembangunan PMM, Azalina berkata, kerajaan menyasarkan khidmat mediasi dijadikan sebagai budaya baharu penyelesaian pertikaian secara alternatif yang lebih berpusatkan rakyat.

“Orang ramai kini boleh mendapatkan khidmat pengantaraan di bawah PMM dengan hanya dikenakan caj pendaftaran minimum sebanyak RM10 sekali gus menawarkan tempoh penyelesaian kes jauh lebih singkat berbanding proses perbicaraan di mahkamah.

“Mahkamah perlu dilihat sebagai pendekatan terakhir. Melalui perantaraan bertauliah di bawah JBG, pihak-pihak bertikai tidak semestinya perlu melantik peguam untuk mencapai penyelesaian di luar mahkamah selain kos lebih rendah dan tidak memakan masa bertahun-tahun,” katanya. 

Dalam program itu, seramai 210 peserta menerima sijil melalui enam siri kursus yang dijalankan dengan peruntukan RM680,000 di bawah Belanjawan 2026. 

“Mereka akan bertindak sebagai pengantara bertauliah dan kursus ini akan diteruskan pada tahun depan dengan kerjasama Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) serta Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),” katanya. -BH Online