LIPIS: Penduduk di daerah ini serta pengguna jalan raya yang berulang-alik antara Pahang dan Kelantan kini menikmati kemudahan perhubungan lebih pantas dan selesa dengan pembukaan rasmi jajaran baharu Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) sepanjang 11.7 kilometer (km), hari ini.
Perasmian pembukaan disempurnakan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Alexander berkata, pembukaan jalan itu membabitkan tiga laluan utama termasuk LTU Seksyen 3J sepanjang 6.95km bernilai RM339.7 juta dari Kampung Seberang Jelai ke Kampung Relong yang dibina mengikut piawaian JKR R5 (empat lorong dua hala).
Turut dibuka ialah Laluan Penghubung Kechau dari Persimpangan Kechau ke Seksyen 3J sepanjang 3.55km, serta Laluan Penghubung 4A dari Persimpangan 4A ke susur keluar sepanjang 1.2km.
“Projek turut membabitkan pembinaan lima jambatan, dua ‘vehicular box culvert’ (VBC), pemasangan lampu jalan serta kerja pengalihan utiliti bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna.
“Projek rangkaian utama Kelantan–Pahang, LTU adalah rangkaian jalan raya tanpa tol sepanjang 299.4km yang menghubungkan Kuala Krai, Kelantan hingga ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Pahang dengan kos keseluruhan sekitar RM7.7 bilion,” katanya.
Katanya, jajaran di Pahang membabitkan jarak keseluruhan 169.1km dibahagikan kepada 15 seksyen.
“Daripada jumlah itu, 13 seksyen sepanjang 136.8km siap secara berperingkat sejak 2013 dan dibuka kepada awam.
“Baki dua lagi, iaitu Seksyen 4B (Ladang Jerkoh ke Sega Lama) dan Seksyen (Sertik ke Persimpangan LPT) masih dalam pembinaan,” katanya.
Alexander berkata, penyiapan Seksyen 3J menyusuli perasmian Seksyen 5A (Raub Bypass) pada 2024 dan bakal menjadi laluan alternatif penting kepada Jalan Persekutuan FT08, sekali gus mengurangkan kesesakan, menjimatkan masa perjalanan, mengurangkan kos bahan api serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
Menyentuh aspek komitmen kontraktor dan penyelenggaraan, beliau menyifatkan kejayaan menyiapkan projek itu sebagai pencapaian bermakna buat syarikat kontraktor utama dalam mendepani pelbagai cabaran.
Ini termasuk peningkatan mendadak harga bahan binaan akibat ketidaktentuan ekonomi global susulan konflik di Asia Barat.
Katanya, cabaran itu tidak sedikit pun menggugat komitmen kontraktor yang berpegang pada janji untuk memastikan projek ini siap mengikut tempoh ditetapkan tanpa berkompromi terhadap aspek kualiti dan keselamatan. -BH Online

