Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KLUANG: Keseimbangan antara kebajikan pekerja dan kelangsungan majikan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu diambil kira dalam cadangan peningkatan gaji minimum kepada RM2,000.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir, bagaimanapun berkata, pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2027 bulan depan.

“Sudah pasti dari sudut pandang itu, kita mengambil kira beberapa segmen dan bagaimana pelaksanaan diimbangi antara menyantuni warga kerja kita serta kelangsungan majikan, terutama peniaga kecil PMKS,” katanya selepas meninjau keadaan kuarters kediaman anggota polis sempena lawatan di Kluang, hari ini.

Terdahulu, beliau diminta mengulas pandangan pakar ekonomi bahawa peningkatan gaji minimum kepada RM2,000 berpotensi memberi kesan terhadap kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Menurutnya, perincian berkaitan dasar berkenaan wajar ditunggu sehingga Belanjawan 2027 dibentangkan.

Katanya, pembentangan Belanjawan 2027 dijangka berlangsung pada minggu pertama Oktober, dengan persidangan Parlimen pula bermula minggu depan.

“Saya rasa sudah ulas banyak sebelum ini, tetapi lebih elok kita beri ruang kerana belanjawan itu akan dibentangkan pada minggu pertama bulan 10.

“Jadi, kita sabarlah sedikit, 10 atau 11 hari lagi untuk kita dengar sendiri daripada Yang Berhormat Menteri Kewangan atau Perdana Menteri,” katanya.-BH Online