Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

NEW YORK: Malaysia diminta oleh beberapa negara untuk mengambil peranan sebagai Pengerusi Bersama Kumpulan The Hague bersama-sama Afrika Selatan bagi menyuarakan pendirian serta menyelaraskan tindakan berhubung pelanggaran undang-undang antarabangsa, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, permintaan itu dibuat kerana pendirian Malaysia yang lantang di pelbagai platform antarabangsa berhubung pelanggaran undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Banyak sangat negara yang mahu kita menjadi pengerusi bersama, pengurus bersama dengan Afrika Selatan, kerana suara Malaysia yang amat lantang di setiap platform ataupun pentas antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia pada Debat Umum Sesi Ke-81 Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA81), di sini, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu masih memerlukan persetujuan Kabinet, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kumpulan The Hague ditubuhkan pada 31 Januari 2025 oleh beberapa negara termasuk Malaysia dan Afrika Selatan, sebagai platform untuk mengambil tindakan undang-undang dan diplomatik secara terselaras dalam mempertahankan undang-undang antarabangsa serta berkaitan isu Palestin.

Mohamad berkata, Malaysia kali ini menjadi penaja bersama Kumpulan The Hague.

“Kumpulan The Hague ini ditubuhkan semata-mata untuk melihat dan menyuarakan pendapat negara-negara yang sama pemikiran dengan kita berkenaan pencerobohan serta pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan dalam kumpulan seumpama itu membolehkan Malaysia mengukuhkan suaranya pada peringkat antarabangsa melalui kerjasama dengan negara-negara yang mempunyai pendirian sehaluan.

Beliau berkata, Malaysia turut menggunakan platform lain seperti G77 dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menyelaraskan pendirian serta tindakan bersama.

Mohamad berada di New York dari 23 hingga 27 September bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Ke-81 Perhimpunan Agung PBB (UNGA). -BH Online