GERIK: Kementerian Kesihatan (KKM) melancarkan Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli (NSPSDHOA) 2026-2035 bagi menangani isu kesihatan komuniti berkenaan secara lebih menyeluruh, termasuk aspek pendidikan, ekonomi, pemakanan dan persekitaran.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Zulkefly Ahmad, berkata pelan 10 tahun itu adalah dokumen dasar nasional pertama seumpamanya dan dilaksanakan menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan membabitkan 17 kementerian serta agensi pelaksana.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan penting kerana tahap kesihatan masyarakat Orang Asli bukan hanya bergantung kepada rawatan perubatan, sebaliknya turut dipengaruhi faktor ekonomi, pendidikan, bekalan makanan dan persekitaran tempat tinggal.
“Isu ini tidak boleh dirawat dengan ubat semata-mata, sebaliknya ia wajib diselesaikan melalui pembangunan asas kehidupan yang lebih holistik,” katanya ketika majlis berucap pada majlis peluncuran NSPSDHOA 2026-2035 di Kampung Orang Asli Air Banun, di sini, hari ini.
Zulkefly berkata, keperluan pelan berkenaan turut berdasarkan dapatan Tinjauan Kesihatan Orang Asli (OAHS) 2022 yang menunjukkan 44 peratus kanak-kanak Orang Asli mengalami masalah bantut berbanding 21.2 peratus kanak-kanak Malaysia.
Katanya, tujuh hingga lapan daripada 10 pesakit Orang Asli yang menghidap kencing manis dan kolesterol pula tidak menyedari mereka mempunyai penyakit berkenaan, manakala satu daripada lima keluarga Orang Asli masih berdepan ketidakjaminan makanan.
Beliau berkata, pelan itu berpaksikan enam teras utama merangkumi akses dan kesaksamaan penjagaan kesihatan, literasi kesihatan, pendidikan, kestabilan ekonomi, sokongan sosial serta kelestarian alam sekitar.
“Apalah gunanya kemudahan kesihatan yang serba lengkap sekiranya pemahaman dan amalan kesihatan masyarakat tidak berubah.
“Kita percaya, apabila tahap literasi kesihatan komuniti semakin meningkat, mereka berupaya dan berdaya untuk membuat keputusan yang lebih baik demi kesihatan diri, keluarga, dan generasi masa depan mereka.” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, KKM menetapkan 46 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi memastikan pelaksanaan pelan berkenaan memberi keberhasilan nyata kepada komuniti Orang Asli.
Antara sasaran ditetapkan termasuk menangani malpemakanan, pengawalan penyakit tidak berjangkit (NCD), pembasmian penyakit berjangkit dan pemerkasaan literasi.
Beliau berkata, usaha itu memerlukan kerjasama pelbagai kementerian dan agensi bagi memastikan hak kesihatan masyarakat Orang Asli terus terbela selaras dengan prinsip ‘Leaving no one behind’. -BH Online

