Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGI, 9 November – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama seluruh negara dilaporkan perlahan setakat pukul 8.00 malam tadi berikutan pertambahan kenderaan warga kota yang mula pulang ke destinasi masing-masing selepas berakhirnya cuti perayaan Deepavali dan cuti tambahan persekolahan.

Tinjauan RTM mendapati pergerakan trafik dari Pantai Timur menghala ke ibu kota setakat ini mendapati pergerakan kenderaan masih kekal perlahan.

Di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), trafik bergerak perlahan selepas Plaza Tol Bentong di Kilometer (KM) 61.8, selain kesesakan kecil yang turut dilaporkan di susur masuk menuju ke Plaza Tol Gombak di KM 19.8.

Bagi laluan arah utara, aliran trafik tinggi dicatatkan di kawasan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah.

Keadaan bertambah sesak susulan kejadian sebuah bas rosak berhampiran KM 329.5 dari Tapah ke Bidor yang mengakibatkan lorong kanan terhalang.

Sementara itu, pergerakan kenderaan di laluan selatan turut dilaporkan perlahan di kedua-dua arah, khususnya di sekitar KM 259.55 berhampiran Port Dickson.

Pengguna jalan raya yang baru merancang atau bakal memulakan perjalanan pulang dinasihatkan supaya merujuk Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang dikeluarkan oleh PLUS Malaysia Berhad (PLUS) serta syarikat konsesi lebuh raya yang lain bagi merancang perjalanan dengan lebih baik. -Berita RTM