MELAKA: Projek Pembangunan Piawaian Penggredan Pati Minyak Gaharu selama enam bulan bermula bulan ini menjadi langkah penting dalam memperkukuh industri gaharu tempatan.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata projek itu langkah awal ke arah pembangunan Sistem Penggredan Gaharu Kebangsaan yang diusahakan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan institusi penyelidikan serta pakar industri.
Beliau berkata pembangunan piawaian itu penting bagi memastikan pati minyak gaharu tempatan mempunyai standard penggredan yang jelas.
“Untuk bersaing di pasaran global, gaharu Malaysia memerlukan identiti sendiri. Sehubungan dengan itu, MTIB sedang bergerak ke arah Sistem Penggredan Gaharu Kebangsaan.
“Piawaian ini penting untuk meningkatkan keyakinan pembeli dan memperkukuh jenama Malaysian Oud pada peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Usahawan Agrikomoditi 2026 di sini hari ini.
Noraini berkata usaha memperkasakan industri gaharu turut merangkumi sokongan kepada penanam dan usahawan menerusi pelbagai inisiatif disediakan MTIB.
Setakat September 2026, beliau berkata sebanyak 456 penanam gaharu berdaftar dengan MTIB, melibatkan kira-kira 2.3 juta pokok Aquilaria atau lebih dikenali pokok karas selain hampir 100 penanam baharu menyertai industri itu dalam tempoh kurang setahun.
“Kerajaan menerusi MTIB menyediakan insentif inokulasi sebanyak RM100 bagi setiap pokok dan sebanyak RM1.76 juta telah diluluskan melibatkan sebanyak 161 penanam setakat ini.
“MTIB juga menyediakan Insentif Penyulingan Pati Minyak bagi membantu usahawan meningkatkan nilai tambah produk gaharu,” katanya.
Noraini berkata potensi industri itu tidak terhad kepada penghasilan kayu gaharu dan minyak pati untuk pembuatan kosmetik, aromaterapi serta minyak wangi, malah daunnya boleh dipelbagaikan menjadi produk seperti teh, kopi dan biskut.
Beliau berkata Malaysia mempunyai lima daripada 22 spesies pokok Aquilaria di seluruh dunia termasuk Aquilaria malaccensis yang merujuk kepada Melaka.
Festival Usahawan Agrikomoditi 2026 selama dua hari bermula hari ini menghimpunkan lebih 10 usahawan yang mempamer dan menjual produk agrikomoditi, terutamanya yang berasaskan kayu, koko, kenaf dan sawit.– BERNAMA
