Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka akan terus mengenal pasti punca dan melaksanakan langkah penyelesaian bagi menangani masalah banjir, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata usaha itu yang akan dilakukan secara berperingkat mengikut kawasan, turut mengambil kira pelbagai faktor termasuk sistem saliran yang tidak teratur dan fenomena semula jadi.

“Selagi banjir tidak selesai, selagi itu saya tidak akan berhenti berkhidmat untuk rakyat. Kita akan mencari punca masalah banjir.

“Mungkin kita tidak mempunyai sistem saliran yang teratur dan terancang, mungkin disebabkan fenomena alam yang perlu kita ambil kira,” katanya kepada Bernama.

Ab Rauf berkata kerajaan negeri turut melaksanakan projek tebatan banjir dengan sokongan peruntukan Kerajaan Persekutuan termasuk projek baharu di Sungai Baru Hilir yang melibatkan kos kira-kira RM432 juta.

Beliau berkata beberapa kawasan yang dikenal pasti sebagai zon merah banjir turut diberikan perhatian menerusi pendekatan pengurusan secara mikro bagi memastikan penyelesaian yang bersesuaian di setiap kawasan.

Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata komitmen kerajaan negeri terhadap kebajikan rakyat turut dizahirkan menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang dilaksanakan di semua 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata menerusi program itu, sebanyak 75 peratus daripada kira-kira 4,000 permasalahan rakyat yang dikumpulkan diselesaikan sepanjang hampir tiga tahun pentadbirannya.

Ab Rauf berkata aduan itu merangkumi pelbagai aspek termasuk pendidikan, kebajikan, tanah, pertanian dan kemudahan rumah ibadat sebelum diselaraskan mengikut portfolio ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Prinsip saya untuk menjadi wakil rakyat, kita perlu tahu susah payah rakyat, untuk menjadi wakil rakyat kena menjadi rakyat. Baru kita tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata selain WRUR, kerajaan negeri turut melaksanakan Program Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT) setiap 45 hari sebagai platform menerima aduan yang memerlukan perhatian lebih serius pentadbiran negeri.

Selain itu, beliau berkata Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat (MeSRa) pula bertujuan menilai keberkesanan bantuan yang disalurkan serta mengenal pasti penambahbaikan yang boleh dilakukan.– BERNAMA