Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GERIK: Sebanyak 628 perkampungan Orang Asli di seluruh negara disasarkan mempunyai klinik kesihatan yang dinaiktaraf atau diwujudkan menjelang 2035 bagi memperkukuh akses perkhidmatan kesihatan komuniti itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran berkenaan diyakini mampu dicapai menerusi kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), meskipun berdepan kekangan peruntukan.

“Memang ada klinik yang ada, tetapi kita harap kerana menyantuni soal kesihatan ini, kita mesti memberikan perkhidmatan kepada mereka kerana mereka juga adalah warga Malaysia yang berhak diberikan perkhidmatan kesihatan terbaik,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Majlis Pelancaran Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli (NSPSDHOA) 2026–2035 di Kampung Air Banun, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor.

Ahmad Zahid selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Kesihatan Nasional berkata melalui NSPSDHOA 2026–2035, penekanan juga diberikan kepada kaedah-kaedah untuk menentukan pencegahan penyakit dalam kalangan Orang Asli dapat dilakukan, dan rawatan dapat diteruskan.

“Paling penting ialah bagaimana pencegahan harus dilakukan bukan sahaja dalam soal pemakanan, soal awareness ataupun kesedaran, dan soal-soal lain yang berkait dengan kehidupan harian masyarakat Orang Asli.” katanya.

Beliau juga menggesa hospital berhampiran penempatan Orang Asli diperkasa dengan kemudahan dan perkhidmatan kepakaran bagi memastikan kes penyakit kronik dalam kalangan komuniti berkenaan mendapat rawatan sewajarnya.

“Penyediaan doktor pakar di hospital daerah atau negeri yang berdekatan dapat memudahkan pengurusan kes rujukan serta meningkatkan kualiti rawatan untuk masyarakat Orang Asli,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mengulas mengenai pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134), dan berharap akta berkenaan dapat dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang sebelum penghujung tahun ini.

Beliau berkata, akta yang sudah berusia lebih 70 tahun itu perlu dipinda bagi menambah baik peruntukan berkaitan masyarakat Orang Asli, termasuk isu tanah yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. -BH Online