Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Belanjawan 2027 bagi Wilayah Persekutuan dijangka terus memberi keutamaan kepada keperluan asas rakyat menerusi pendekatan back to basic, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

Beliau berkata, antara perkara yang akan diberi perhatian termasuk menaik taraf Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam di Kuala Lumpur, penyelenggaraan serta penurapan jalan dan usaha mitigasi banjir.

Katanya, Jabatan Wilayah Persekutuan akan berbincang dengan Kementerian Kewangan dalam proses penyediaan Belanjawan 2027, termasuk meneliti senarai keutamaan yang dikemukakan kementerian.

“Untuk kita, selalunya kita fokus back to basic, bermaksud keperluan asas rakyat dijaga di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Jadi tahun ini pun kalau kita lihat trend bajet yang kita sediakan, kita belanja untuk naik taraf semua PPR, semua perumahan awam di Kuala Lumpur, belanja untuk menurap jalan dan mitigasi banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada pelancaran Program Pitstop Petron yang diperluaskan ke Lembah Klang, di sini.

Mengulas keutamaan bagi tahun depan, Yeoh berkata, antara harapannya adalah supaya usaha mewartakan kawasan lapang terus diperkasakan bagi menyediakan persekitaran yang menyokong gaya hidup sihat dan meningkatkan kualiti hidup penduduk.

Katanya, penyediaan ruang awam yang berkualiti penting bukan sahaja kepada golongan yang masih bekerja, malah mereka yang sudah bersara.

“Tak ada pembaziran projek-projek mega,” katanya. -BH Online