Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak 670 permohonan peruntukan penyelenggaraan sekolah diterima daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pelbagai jenis sekolah di seluruh negara setakat 9 November 2026.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, jumlah itu direkodkan selepas seminggu permohonan menerusi Saluran Khas PIBG Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dibuka.

​ “Saya gembira melihat sambutan ini. Ia menunjukkan kesungguhan PIBG untuk bersama-sama membantu meningkatkan kemudahan dan persekitaran sekolah demi keselesaan anak-anak kita.

“Saya mahu PIBG memainkan peranan yang lebih besar sebagai rakan strategik KPM. Ibu bapa yang setiap hari menghantar anak ke sekolah juga mempunyai pandangan mengenai perkara yang perlu diberikan perhatian,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook beliau tadi.

Fadhlina turut memaklumkan bahawa permohonan peruntukan berkenaan masih dibuka sehingga 30 November 2026.

​ Sehubungan itu, beliau menyeru pihak PIBG yang belum mengemukakan permohonan agar mengambil peluang sementara tempoh permohonan masih ada.

Terdahulu media melaporkan saluran khas dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi pemohonan peruntukan penyelenggaraan dalam persekitaran belajar anak-anak yang selamat dan selesa. 

PIBG sekolah boleh mengemukakan permohonan menerusi imbas kod QR poster program terbabit. -BH Online