KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membawa empat pembaharuan perundangan bagi memperkukuh tadbir urus serta memastikan sektor perumahan negara lebih tersusun, telus dan responsif terhadap perubahan landskap dalam negara.
Empat pembaharuan berkenaan membabitkan Akta Pemaju Harta Tanah, Akta Pengurus Bangunan dan Akta Sewaan Kediaman serta pindaan kepada Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata Akta Pemaju Harta Tanah kini berada pada peringkat akhir semakan dan akan menyediakan kerangka perundangan lebih menyeluruh bagi mengawal selia sektor pembangunan hartanah.
“Perundangan sedia ada mempunyai skop kuasa yang terhad kepada pembangunan rumah dan tidak merangkumi hartanah komersial termasuk kedai serta projek komersial.
“Akta Pembangunan Hartanah akan menjadi kerangka perundangan yang lebih komprehensif untuk kita melangkah ke arah negara maju,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035 di sini, hari ini.
Beliau menambah, Akta Pengurus Bangunan pula penting bagi memastikan pengurusan hartanah bersama dilaksanakan secara lebih selamat, selesa dan mampan.
Menurutnya, ketika ini Malaysia mempunyai hampir tiga juta unit hartanah bersama dalam lebih 27,000 skim perumahan, termasuk kondominium dan pembangunan SOHO
Sementara itu, katanya Akta Sewaan Kediaman akan diperkenalkan bagi memastikan hak pemilik dan penyewa dilindungi secara lebih seimbang menerusi kerangka perundangan yang jelas.
“Kerajaan menghormati pilihan rakyat sama ada untuk memiliki atau menyewa kediaman, mengambil kira perubahan gaya hidup serta keadaan kewangan sesetengah isi rumah,” katanya.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata pindaan Akta Pengurusan Strata 2013 akan dilaksanakan bagi memperkukuh tadbir urus serta pengurusan hartanah strata, selaras dengan pertambahan penduduk yang tinggal di kawasan bandar dan pembangunan berstrata.
“Keperluan memperkukuh pengurusan bangunan semakin penting susulan kadar urbanisasi negara meningkat daripada 28 peratus pada 1970 kepada 78 peratus ketika ini dan dijangka mencecah 85 peratus menjelang 2040.
“Apabila 85 peratus rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar, amat penting untuk kita memastikan terdapat perundangan yang komprehensif, progresif dan adil untuk semua pihak,” katanya.
Beliau berkata, keempat-empat pembaharuan perundangan itu adalah antara langkah di bawah DRN 2026-2035 yang dilancarkan hari ini sebagai hala tuju pembangunan sektor perumahan negara bagi tempoh 10 tahun akan datang. -BH Online
