Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Myanmar bersetuju membawa pulang 5,000 pelariannya dari Malaysia menggunakan kapal, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya ketika bertemu rakan sejawatnya dari Myanmar.

Bagaimanapun, Mohamad tidak mendedahkan pihak mana akan menanggung kos penghantaran pulang pelarian itu ke Myanmar kerana Wisma Putra hanya bertindak sebagai pemudah cara proses berkenaan.

Namun, katanya, proses penghantaran pulang perlu dilaksana segera kerana 5,000 pelarian Myanmar terbabit sudah dikenal pasti.

“Itu terpulang kepada rundingan kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti dan kita di Kementerian Luar (KLN) (akan lakukan) jika diputuskan KDN dan juga kementerian mereka di Myanmar.

“Kita adalah fasilitator saja untuk hantar pulang (pelarian terbabit). Ketika saya bertemu Menteri Luar yang baharu di Myanmar, mereka menyatakan kesediaan membawa pulang 5,000 pelarian dengan kapal.

“Tetapi isunya adalah keselamatan 5,000 pelarian ini, kita tegaskan apakah mereka selamat apabila dihantar balik. Apa akan rjadi kepada mereka, itu perlu juga difikirkan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari ASEAN ke-59 di Wisma Putra, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni.

Ditanya bagaimana ASEAN boleh berperanan mengawal dan menguruskan isu pelarian, Mohamad berkata, walaupun ia tergolong sebagai masalah dalaman sesebuah negara, terdapat keperluan isu itu diuruskan secara bersama.

Beliau berkata, ini kerana pemimpin ASEAN sebelum ini pernah menyatakan persetujuan untuk memperkenal rangka kerja dasar antaranya Konsensus Lima Perkara (5PC) untuk mengatasi isu di Myanmar.

Katanya, sebelum pelarian dihantar pulang ke Myanmar, kerajaan negara itu perlu memastikan 5PC iaitu pelan tindakan damai dipersetujui pemimpin ASEAN dipatuhi dan dilaksanakan bagi menjamin keselamatan mereka.

5PC menggariskan supaya penghentian serta-merta keganasan di Myanmar, memulakan dialog membina antara semua pihak terbabit serta melantik dan menggunakan seorang wakil khas Pengerusi ASEAN untuk memfasilitasi proses dialog.

Ia turut menggariskan peranan ASEAN dalam menyediakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar yang terjejas dan memperuntukan supaya wakil khas ASEAN melakukan lawatan ke Myanmar serta bertemu semua pihak berkepentingan.

“Kita bukan bercakap berkenaan pelarian Rohingya, sebaliknya semua pelarian dari Myanmar kerana ada pelbagai etnik dari negara itu termasuk Chin.

“Jadi, kita melihat ia satu perkara yang Malaysia perlu urus. Dalam ASEAN, kita sama-sama melihat isu pelarian seperti di Myanmar ini perlu diatasi bersama. 

“Kita mahu 5PC kekal jadi teras mekanisme ASEAN terhadap Myanmar dan Kerajaan Myanmar memenuhi hasrat ketua negara ASEAN kerana konsensus itu ditandatangani serta dipersetujui semua termasuk pemimpin Myanmar ketika itu,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelariannya yang berada di Malaysia, hasil rundingan diplomatik dan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, perkembangan itu satu langkah awal bagi menangani isu berkenaan, selain memastikan isu ketenteraman awam di Malaysia terus dipelihara. -BH Online