KUALA LUMPUR: Sejumlah 11,072 penjaja kecil di ibu negara bakal menikmati persekitaran perniagaan lebih kondusif menerusi Program Lestari Niaga@Kuala Lumpur 2026 membabitkan 287 lokasi dengan peruntukan RM200 juta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata program itu dilaksanakan secara sistematik bagi memastikan peruntukan kerajaan memberi manfaat langsung kepada penduduk dan peniaga.
“Selalunya, kita pilih projek mana yang hendak diutamakan berdasarkan keadaan rosak dahulu. Apabila siap, muncul pula projek lain yang perlu dinaik taraf.
“Jadi, apabila kita belanja secara sistematik, semua projek berjalan secara berstruktur dan memudahkan pegawai kerana mereka sudah tahu hala tuju yang perlu dilaksanakan.
“Tiada masalah saya perlu memilih lokasi atau campur tangan politik, sebaliknya kita bergerak mengikut perancangan ditetapkan,” katanya pada sidang media di Pasar Batu 2 1/2 Jalan Ipoh, di sini, hari ini.
Beliau berkata, naik taraf pasar tradisional penting bagi memastikan premis berkenaan terus dikunjungi orang ramai, selain mengekalkan nilai sejarah perniagaan keluarga yang diwarisi beberapa generasi.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, berkata daripada 287 lokasi dikenal pasti, 48 siap sepenuhnya, manakala 100 lagi dijangka siap menjelang akhir tahun ini.
Beliau berkata, baki 53 lokasi dijadualkan siap 2027, manakala 14 lokasi lagi dibawa ke tahun depan untuk pelaksanaan mengikut perancangan.
Katanya, program itu membabitkan tiga kategori utama iaitu 224 lokasi gerai tepi jalan, 55 lokasi aset Datuk Bandar dan lapan lokasi projek pembangunan semula, dengan keseluruhan 11,072 penjaja menerima manfaat.
“Daripada peruntukan RM200 juta bagi 2026, sebanyak RM134 juta dijangka dibelanjakan sehingga akhir tahun ini, manakala baki peruntukan akan diteruskan bagi pelaksanaan projek tahun depan,” katanya.
Antara kerja naik taraf termasuk pembinaan kiosk modular, gerai berkunci serta kemudahan asas seperti tandas, surau dan ruang makan.
Mengulas Pasar Batu 2 1/2, Fadlun berkata daripada 22 petak niaga, sembilan sudah diisi manakala 13 lagi akan dibuka untuk tawaran. DBKL turut memberi kelonggaran kepada peniaga meletakkan kenderaan di tepi jalan berikutan kekurangan parkir. -BH Online

