KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang membangunkan sistem analitik data raya bagi menangani ketidakpadanan antara bekalan dan permintaan perumahan, sekali gus memastikan pembangunan kediaman lebih menepati keperluan pasaran khususnya golongan berpendapatan sederhana (M40).
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata sistem berkenaan membolehkan pemaju menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek berasaskan data tepat, sekali gus mengurangkan risiko pembangunan rumah yang tidak sepadan dengan keperluan pembeli.
Beliau berkata, pendekatan berasaskan data itu juga dapat membantu kerajaan memperkukuh usaha menyediakan lebih banyak pilihan kediaman yang mampu dimiliki dan bersesuaian dengan kemampuan rakyat, termasuk golongan M40.
Katanya, apabila siap sepenuhnya, sistem itu akan dibuka kepada sektor swasta menerusi model langganan pada kadar munasabah.
“Malaysia bukan berdepan masalah kekurangan bekalan atau permintaan rumah, sebaliknya berlaku ketidakpadanan antara rumah yang dibina dengan apa yang sebenarnya diperlukan pasaran.
“Melalui sistem analitik data raya ini, semua kajian kebolehlaksanaan pemaju akan berasaskan data bagi membantu menyelesaikan masalah ketidakpadanan itu,” katanya pada Persidangan Hartanah ASEAN (AREC) 2026 di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican, serta Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar China, Ni Hong.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, sepanjang tempoh tiga tahun lalu, KPKT bersama PLANMalaysia telah meneliti dan mengadaptasi amalan terbaik antarabangsa sebelum merangka Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Beliau berkata, akta berkenaan kini telah siap sepenuhnya dan hanya menunggu untuk dibentangkan di Parlimen. -BH Online
