Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SIBU: Pembangunan modal insan yang menguasai sains, teknologi dan kecerdasan buatan (AI) ialah kunci memastikan Sarawak kekal berdaya saing serta mampu menghadapi cabaran perubahan iklim dan ekonomi global, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Beliau berkata Sarawak memiliki kekuatan dari segi sumber semula jadi termasuk hutan, sumber air, tenaga boleh baharu dan kekayaan sumber bawah tanah, namun kejayaan negeri bergantung kepada keupayaan melahirkan generasi yang mempunyai ilmu serta kemahiran dalam teknologi baharu.

“Kita ada kekuatan, tetapi jurang yang perlu diisi ialah ilmu. Anak-anak Sarawak mesti menguasai teknologi terkini supaya mampu menyelesaikan cabaran masa depan dan mengurus ekonomi secara mampan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak ke-61 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata perubahan iklim yang semakin ketara di seluruh dunia menuntut negara melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Sehubungan dengan itu, beliau berkata Kerajaan Negeri Sarawak terus memperkukuh inisiatif pendidikan menerusi Program Dwibahasa (DLP), Sarawak Learning Initiative Programme (SLIP) serta penubuhan Pusat Sains Sarawak bernilai lebih RM200 juta, yang dilengkapi kemudahan moden termasuk asrama bagi membolehkan pelajar luar bandar mengikuti program sains.

Abang Johari berkata pendedahan awal kepada teknologi membuktikan pelajar luar bandar juga mampu menguasai bidang teknologi tinggi, termasuk penggunaan dron.

“Kita mahu melahirkan lebih ramai saintis, jurutera, inovator dan usahawan teknologi. Latar belakang kaum atau agama bukan penghalang, yang penting penguasaan ilmu,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri turut memperkukuh akses pendidikan melalui pembangunan infrastruktur, termasuk jalan raya, bekalan air dan elektrik ke kawasan pedalaman, selain mengambil alih jalan balak bagi memudahkan perhubungan sekolah luar bandar.

Jaringan jalan yang menghubungkan kawasan pedalaman seperti Miri, Marudi, Long Terawan dan Long Lama akan memudahkan pelajar serta guru menikmati kemudahan pendidikan dengan lebih baik.

Pada masa yang sama, beliau berkata Kerajaan Negeri Sarawak terus melaksanakan dasar pendidikan tinggi percuma di institusi milik negeri dengan peruntukan RM260 juta tahun ini, melibatkan kira-kira 10,000 pelajar bagi pengambilan pertama dan kedua.– BERNAMA