KUALA LUMPUR: Sidang Khas Parlimen membincangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) akan diadakan 11 Ogos depan, membuka ruang kepada penelitian menyeluruh terhadap dapatan siasatan dan hala tuju pembaharuan institusi pengurusan haji negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, sidang khas itu akan berlangsung selepas mendapat persetujuan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, dengan sesi dijadual bermula jam 10 pagi hingga petang.
“Pada 11 Ogos, sesi khas Parlimen (berhubung laporan RCI TH). Saya sudah berbincang dengan Speaker dan beliau pun setuju. (Sesi) bermula jam 10 pagi sehingga petang,” katanya kepada media selepas merasmikan ibu pejabat baharu Maybank di Menara Merdeka Maybank, di sini hari ini.
Sidang khas itu diadakan susulan keputusan Jemaah Menteri yang bersetuju mengelaskan semula serta mendedahkan laporan RCI berkaitan TH kepada umum, selain meneruskan siasatan lanjut oleh badan penguat kuasa berdasarkan dapatan yang terkandung dalam laporan berkenaan.
Langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan segala penemuan hasil siasatan dapat diteliti secara terbuka, di samping memperkukuh keyakinan rakyat terhadap usaha memperbaiki tadbir urus institusi kewangan Islam berkenaan.
Krisis kewangan TH sebelum ini bermula daripada isu ketidakpadanan aset dan liabiliti yang mencetuskan pelaksanaan pelan pemulihan berskala besar sebelum RCI ditubuhkan bagi menyiasat isu berbangkit sepanjang tempoh 2014 hingga 2020.
Selepas melalui proses penstabilan kewangan dan operasi, TH kini dilihat berada pada kedudukan yang lebih kukuh berdasarkan pelaksanaan pelbagai langkah pembaharuan yang digariskan menerusi laporan RCI.
Laporan berkenaan mengandungi 25 syor penambahbaikan, dengan pengurusan tertinggi TH berjaya melaksanakan 75 peratus daripada keseluruhan syor terbabit.
Pada masa sama, prestasi institusi itu turut disokong pengumuman agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025 yang menjadi petunjuk bahawa keadaan kewangan dan operasi TH kini semakin stabil.
Kerajaan menubuhkan RCI TH pada 2021 di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 bagi menyiasat pelbagai isu berkaitan tadbir urus, pengurusan dan urus niaga TH, termasuk dakwaan penjualan aset strategik serta keputusan pengurusan yang menimbulkan kontroversi. – BH Online

