BUKIT KAYU HITAM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan kepada polis dalam melaksanakan siasatan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkait ucapan kontroversinya dalam ceramah di Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya belum dimaklumkan perkembangan terkini siasatan kes berkenaan yang dilakukan polis.
“Saya belum mendapat sebarang kemas kini daripada pihak polis. Saya percaya pihak polis akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah di FELDA Bukit Tangga di sini, hari ini.
Sebelum ini, polis Negeri Sembilan mengumumkan akan memanggil Muhammad Sanusi dan pemimpin UMNO Rembau dalam masa terdekat untuk diambil keterangan berhubung kenyataan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata setakat Selasa lalu, pihaknya menerima 11 laporan terhadap pemimpin UMNO Rembau itu, manakala laporan terhadap Muhammad Sanusi masih dalam proses kemas kini.
Sebelum ini, Sanusi dalam ceramahnya mengeluarkan satu ucapan yang mencetuskan kontroversi menyebut ‘Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kemboja ada Kemboja, orang Siam ada Thailand’.
Sementara itu, mengulas mengenai kempen PRN Negeri Sembilan, Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) yakin negeri itu akan terus ditadbir gabungan berkenaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.
“Alhamdulillah bila saya boleh tinggalkan sana (Negeri Sembilan) sebentar dan datang ke sini (Kedah), itu kira tunjuk tahap keyakinan kita adalah memuaskan,” katanya. -BH Online

