Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengumumkan pengecualian yuran penarafan perusahaan sosial bermula 1 Ogos hingga 17 September sempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Menterinya, Steven Sim, berkata pengecualian itu membabitkan yuran penarafan Perusahaan Sosial Diakreditasi sebanyak RM300 dan Perusahaan Sosial Asas sebanyak RM50, yang akan ditanggung sepenuhnya oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).

“Langkah ini bertujuan menggalakkan lebih banyak syarikat mendaftar sebagai perusahaan sosial. 

“Syarikat yang berjaya memperoleh status Perusahaan Sosial Akreditasi turut layak menikmati pengecualian cukai sehingga 31 Disember 2027,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Ekosistem Perusahaan Sosial (KEPS) 2026 di Hotel Royale Chulan Damansara di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni.

Sim berkata, setakat ini sebanyak 649 perusahaan sosial menerima penarafan KUSKOP, membabitkan 328 Perusahaan Sosial Tunas, 253 Perusahaan Sosial Asas dan 68 Perusahaan Sosial Diakreditasi.

Bagaimanapun, katanya, jumlah itu masih jauh daripada sasaran Kerangka Keusahawanan Sosial Malaysia 2030 (SEMy2030), yang mensasarkan 5,000 perusahaan sosial menjelang 2025.

Sehubungan itu, beliau menggesa supaya usaha memperkukuh ekosistem perusahaan sosial dipergiatkan.

Pada majlis sama, Sim turut memperkenalkan Perolehan Impak Sosial Malaysia (PRISMA), iaitu pendekatan baharu yang menggalakkan agensi kerajaan dan syarikat swasta mengambil kira impak sosial dalam keputusan perolehan mereka, di samping menyokong produk dan perkhidmatan perusahaan sosial.

Beliau berkata, KUSKOP menjadi kementerian pertama melaksanakan komitmen perolehan berimpak sosial menerusi kerangka PRISMA.

“Sebagai peneraju pelaksanaan inisiatif itu, KUSKOP menyasarkan nilai perolehan berimpak sosial kementerian meningkat kepada sekurang-kurangnya RM300,000 tahun ini berbanding RM100,000 yang direkodkan pada tahun lalu,” katanya.

Sim berkata, menerusi SEMy2030, kerajaan menyasarkan nilai perolehan berimpak sosial mencecah RM2.6 bilion menjelang 2030.

“Setakat ini nilainya baru sekitar RM26 juta, jadi jurangnya masih besar.

“Sebab itu kita memperkenalkan PRISMA dan hari ini 10 syarikat serta agensi tampil sebagai kumpulan perintis yang komited memperuntukkan sebahagian daripada perolehan mereka kepada perusahaan sosial,” katanya. -BH Online