Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan program reformasi sekolah bermula minggu depan bagi melonjakkan mutu pendidikan melalui perubahan budaya, ekosistem dan profesionalisme.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata menerusi program berkenaan 10 sekolah di setiap daerah akan dipilih sebagai projek rintis bagi mengangkat mutu pendidikan serta kemenjadian murid.

Katanya, setiap daerah akan memilih lima sekolah rendah dan lima sekolah menengah untuk dibangunkan sebagai sekolah terbaik di daerah masing-masing.

Setiap sekolah yang terpilih berpeluang menerima peruntukan sehingga RM100,000 bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembaharuan mengikut keperluan dan perancangan masing-masing.

“Setiap daerah akan mengangkat 10 sekolah iaitu lima sekolah rendah dan lima sekolah menengah yang harus menjadi sekolah terbaik di daerah masing-masing.

“Saya sudah melalui beberapa sesi bersama sekolah-sekolah ini dan nampaknya masing-masing cukup bersemangat kerana tawaran kita adalah sehingga RM100,000 bagi setiap sekolah untuk melakukan pelbagai perubahan dan reformasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bersama Warga Kementerian Pendidikan (KPM) yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Fadhlina menegaskan, reformasi sekolah bukan sekadar menaik taraf kemudahan fizikal, sebaliknya memerlukan perubahan menyeluruh terhadap budaya kerja dan pemikiran seluruh warga sekolah.

“Reformasi ini tidak boleh ambil jalan singkat. Contohnya memasang pendingin hawa di semua sekolah atau meletakkan papan pintar di setiap kelas, itu bukan reformasi.

“Reformasi ialah perubahan budaya, perubahan ekosistem dan perubahan mentaliti yang harus digarap oleh seluruh warga sekolah untuk menaikkan martabat sekolah menjadi sekolah terbaik,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu turut merangkumi pembaharuan dalam kaedah pengajaran, pemerkasaan kesejahteraan mental warga sekolah, penyelesaian isu buli serta memastikan kesejahteraan seluruh komuniti sekolah terus diperkukuhkan.

Katanya, reformasi berkenaan diharap menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti pendidikan negara secara mampan melalui penglibatan aktif semua warga sekolah.

Sementara itu, Fadhlina merakamkan penghargaan kepada Bahagian Pengurusan Sekolah Harian susulan pelancaran Garis Panduan Sekolah Selamat dan Polisi Perlindungan Murid.

Jelasnya, garis panduan komprehensif itu antara usaha penting bagi memperkasakan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan sekolah serta memastikan kebajikan murid terus diberi keutamaan.

“Kita tidak mahu sekolah dari segi keselamatan, guru-guru kita terus dipersoal, anak-anak kita terus dipinggirkan apabila kita bercakap soal kepercayaan masyarakat terhadap sekolah kita.

“Sebab itu garis panduan ini adalah garis panduan yang komprehensif meliputi semua isu di sekolah,” katanya. -BH Online