MELAKA: Kerajaan akan meneliti semula cadangan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) supaya jumlah geran ditambah bagi membantu mengembangkan perniagaan mereka.
Penasihat Khas Majlis Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Kebangsaan (MPUPK), Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata ia antara maklum balas diterima daripada usahawan ketika Program Jelajah MPUPK diadakan.
Menurutnya, isu utama bukan kerana ketiadaan bantuan, sebaliknya usahawan memohon geran diperbanyakkan bagi memberi lebih banyak peluang kepada mereka mendapatkan sokongan, selain kaedah lebih mudah untuk mengakses bantuan disediakan.
“Saya fikir itu bukan satu masalah…. saya akan panjangkan perkara ini kepada pihak berkaitan untuk dikaji semula dan dipertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Jelajah MPUPK Zon Selatan di sini yang menjadi siri kedua selepas Zon Utara di Alor Setar, Kedah yang menghimpunkan 250 usahawan PMKS, wakil persatuan serta Dewan Perniagaan dari Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata program jelajah itu menjadi platform untuk kerajaan mendengar sendiri pengalaman, cabaran serta cadangan daripada usahawan kerana mereka memahami realiti dunia perniagaan termasuk cabaran kenaikan kos bahan mentah, kekurangan tenaga kerja, perubahan teknologi serta persaingan pasaran.
Ujarnya, PMKS menjadi tonggak ekonomi negara dengan lebih 1.06 juta perusahaan seluruh negara, hampir 97 peratus keseluruhan perniagaan di Malaysia.
“Bagi Zon Selatan sahaja terdapat lebih 207,303 PMKS dengan sektor ini menyumbang 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan nilai RM652.4 bilion pada 2024, selain menyediakan pekerjaan kepada 8.1 juta orang.
“PMKS juga menyumbang 14.3 peratus daripada jumlah eksport negara bernilai RM196.8 bilion, sekali gus membuktikan kemampuan perusahaan tempatan menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Pada program hari ini, kerajaan menyampaikan cek cura berjumlah RM1.605 juta kepada PMKS membabitkan RM1 juta menerusi Program Bumiputera Rapid Acceleration & Value Enhancement (BRAVE), RM350,000 bagi Program Dana Pemangkin Penskalaan PKS dan RM255,000 untuk 17 penerima Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera Skala (TUBE-S). -BH Online
