PUTRAJAYA: Tindakan undang-undang terhadap pegawai penjara termasuk saman berhubung makanan penjara yang didakwa tidak sedap antara faktor mendorong Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneruskan cadangan pindaan Akta Penjara bagi memberi perlindungan kepada petugas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pindaan itu bukan bertujuan memberi imuniti atau kekebalan undang-undang kepada pegawai penjara, sebaliknya menyediakan elemen perlindungan kepada mereka yang melaksanakan tanggungjawab mengikut lunas undang-undang.
Beliau berkata, pegawai penjara berdepan pelbagai tindakan undang-undang walaupun hanya melaksanakan keputusan mahkamah atau menjalankan tugas mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Kita juga terdedah dengan teguran SUHAKAM atau berlaku apa-apa pelanggaran membabitkan anggota penjara. Walhal mereka lakukan ikut proses mahkamah.
“Hukuman sebat siapa putuskan? Selepas sebat prospek sehingga meninggal, pengarah penjara pun kena heret disaman.
“Ada kes prospek mati dalam tidur. Laporan kesihatan mengesahkan tidak ada insiden salah laku, tetapi pengarah penjara masih kena saman.
“Dalam satu sisi lain, seorang suspek meluru dengan senjata tajam ke arah wadar penjara, maka diambil tindakan untuk menghentikan serangan. Guna cota itu pun salah.
“Kalau biar prospek serang prospek lain salah juga kerana membiarkan insiden itu berlaku. Hal ini mendedahkan pegawai penjara kepada tindakan undang-undang. Pernah juga kena saman kerana makanan tak sedap. Sebab itu ada keperluan untuk kita meminda Akta Penjara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN di sini, hari ini.
Pada sidang media selepas majlis, Saifuddin berkata, cadangan pindaan Akta Penjara kini berada pada peringkat libat urus bersama pemegang taruh sebelum dibentangkan semula di Dewan Rakyat, namun beliau tidak memperincikan tempoh pelaksanaannya.
Beliau berkata, KDN juga akan mempergiat usaha memberi penjelasan kepada semua pihak, khususnya berhubung cadangan elemen perlindungan yang disifatkan masih disalah tafsir.
“Percubaan KDN untuk meminda Akta Penjara di bawah tajuk apabila seorang pegawai penjara bertindak secara suci hati (in good faith), pindaan ini mencadangkan supaya ada elemen perlindungan.
“Perkataan itu perlu kita perjelaskan lagi kerana sangkaan umum, NGO termasuk juga ahli-ahli Dewan, menganggap bahawa ini usaha Jabatan Penjara untuk mendapat kekebalan undang-undang.
“Dalam kes-kes yang saya beritahu tadi, itu cuma ‘tip of the iceberg’.
“Seorang pengarah penjara disaman apabila melaksanakan hukuman sebat terhadap seorang prospek yang telah dijatuhkan hukuman sebelum prospek itu meninggal dunia.
“Kita tahu hukuman sebat dilakukan dengan kehadiran doktor dan mengikut prosedur. Sama ada kematian itu disebabkan sebat atau tidak, fungsi Jabatan Penjara hanyalah melaksanakan keputusan mahkamah. Namun dalam kes seperti ini, pegawai penjara tetap diheret ke mahkamah dan disaman.
“Begitu juga kes prospek yang meninggal dunia ketika tidur. Laporan perubatan mengesahkan tiada ‘foul play’, namun pegawai penjara masih disaman. Sebab itu saya merasakan Akta Penjara perlu dipinda dalam konteks ini,” katanya. -BH Online
