Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SIBU: Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menolak dakwaan bahawa masyarakat Dayak dipinggirkan dalam pentadbiran Sarawak, sebaliknya menegaskan mereka terus diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan strategik di peringkat negeri dan Persekutuan. 

Beliau berkata dakwaan yang sering dimainkan menjelang pilihan raya negeri itu hanyalah naratif untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat serta melemahkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, ramai anak Dayak kini menerajui pelbagai agensi dan institusi penting termasuk syarikat berkaitan kerajaan, jabatan kerajaan, badan berkanun, pasukan keselamatan serta kementerian di peringkat Persekutuan. 

“Bagaimana mungkin ada pihak mengatakan masyarakat Dayak tidak diberi tempat sedangkan begitu ramai anak Dayak memegang jawatan penting dalam pentadbiran negeri dan negara. 

“Realitinya, PBB dan GPS sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa setiap anak Sarawak yang berkelayakan akan diberi peluang berkhidmat tanpa mengira kaum,” katanya berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Tengah, hari ini. 

Nanta yang juga Menteri Kerja Raya bagaimanapun mengakui masih terdapat ruang untuk menambah baik aspek keterangkuman dalam pentadbiran agar isu itu tidak lagi dimanipulasi oleh pihak tertentu. 

Beliau berkata memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum bukan satu kesalahan, namun ia tidak boleh dilakukan dengan meniupkan sentimen perkauman atau kebencian terhadap kaum lain. 

“Kita boleh mempertahankan kepentingan kaum masing-masing, tetapi jangan menggunakan pendekatan bersifat perkauman sehingga menimbulkan kebencian. Itulah yang kita tidak boleh terima,” katanya.

Nasihat jentera parti bersedia untuk PRN Sarawak

Menyentuh persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Nanta mengingatkan seluruh jentera parti supaya mengutamakan disiplin, kesetiaan dan perpaduan kerana kemenangan tidak akan dicapai melalui slogan semata-mata. 

Beliau turut mengingatkan pemimpin dan ahli GPS supaya terus berpegang kepada pendirian gabungan itu yang kekal berkecuali dalam perkembangan politik di Semenanjung, sebaliknya memberi tumpuan kepada agenda pembangunan Sarawak. 

“Kita mempunyai agenda pembangunan Sarawak yang perlu diteruskan. Apa yang penting ialah memastikan kerajaan Persekutuan kekal stabil supaya agenda pembangunan Sarawak dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya. 

Beliau turut menyeru seluruh ahli PBB kembali ke kawasan masing-masing dengan semangat baharu untuk memperkukuh parti, memastikan parti itu terus menjadi tunjang GPS serta memperoleh mandat lebih besar pada pilihan raya akan datang. -BH Online