Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TAMPIN: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan, Perdana Menteri akan mengambil kira tarikh tamat penggal Parlimen untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) sekiranya geopolitik negara berubah. 

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Majlis kepada Parlimen Malaysia juga akan mengadakan rundingan sama ada mahu mengadakan PRU lebih awal dari tarikh sebenar.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, belum ada perbincangan diadakan bersama Anwar berkait PRU kerana Kerajaan Perpaduan mempunyai 18 parti dengan sekurang-kurangnya lima gabungan politik. 

“Pada hemat saya, jika geopolitik berubah, tentunya tarikh tamat tempoh penggal Parlimen itu akan diambil kira oleh Perdana Menteri selaku Ketua Majlis Parlimen untuk mengadakan rundingan dengan kami.

“Bagaimanapun, ia tertakluk atas perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempersetujui sama ada pembubaran itu boleh dilakukan awal atau sebaliknya,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media Karnival Hari Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, hari ini. 

Tok Mat jangka PRU16 lebih awal

Semalam, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, menjangkakan PRU diadakan lebih awal, selain mengesahkan akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Rembau.

Mohamad dilaporkan berkata, ada kemungkinan Parlimen dibubar seawal hujung tahun ini sekiranya Perdana Menteri berasa keadaan sesuai untuk berbuat demikian.

Zahid nafi ada kenyataan angkuh

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyangkal ada mengeluarkan kenyataan angkuh ketika berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan seperti didakwa oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke. 

“Tidak ada keangkuhan kalau kita menyarankan agar tukar kerajaan. Parti politik atau gabungan yang mentadbir Negeri Sembilan mahu supaya dikekalkan, yang tidak mentadbir mahu ambil alih. 

“Itu tidak angkuh. Jawablah dengan cara yang baik, berhemah dan tidak menyentuh peribadi,” katanya. -BH Online