Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SANDAKAN: Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet bagi memperkasa penggunaan dan pembelian produk tempatan, sekali gus memperkukuh penyelarasan dasar serta memperhebat usaha meningkatkan penggunaan, jualan domestik dan eksport produk tempatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata mesyuarat Jemaah Menteri pada 15 Julai lalu bersetuju menubuhkan jawatankuasa itu bagi memperkemas hala tuju serta penyelarasan antara kementerian dan agensi kerajaan dalam memperkasa agenda promosi produk tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertindak sebagai urus setia.

“Penubuhan jawatankuasa ini diyakini mampu memperkukuh pelaksanaan gerakan JOM MALAYSIA sebagai agenda nasional yang mengangkat semangat patriotisme ekonomi serta memperkasakan peranan produk dan perkhidmatan tempatan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita sedang merangka terma rujukan sebelum dibentangkan kepada pengerusi jawatankuasa ini. Selepas itu, tarikh mesyuarat akan ditetapkan pada kadar segera.

“Kita akan memperhalusi kementerian atau agensi yang terbabit dalam jawatankuasa, tetapi yang pasti semua yang mempunyai kepentingan serta berkaitan dengan pengeluaran produk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Perasmian Festival JOM MALAYSIA di Kompleks Sukan Sandakan, di sini, hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Armizan berkata, pelaksanaan JOM MALAYSIA akan dipacu menerusi empat teras transformasi utama dengan teras pertama ialah menjadikan JOM MALAYSIA sebagai gerakan nasional yang berasaskan nilai patriotisme ekonomi.

Bagi teras kedua pula, katanya, pendekatan ‘whole-of-nation’ akan digunapakai dengan menggembleng kerjasama semua pihak termasuk kementerian, agensi kerajaan, sektor industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat.

“Teras ketiga memperluaskan skop JOM MALAYSIA supaya tidak hanya tertumpu kepada barangan, malah turut merangkumi pelbagai produk tempatan termasuk sektor perkhidmatan.

“Bagi teras keempat pula akan memberi tumpuan kepada usaha memperluas pasaran dengan menjadikan JOM MALAYSIA sebagai platform memperkenalkan produk Malaysia kepada pelancong dan pengguna antarabangsa, sekali gus membuka peluang kepada produk tempatan menembusi pasaran global,” katanya.

Armizan berkata, penubuhan Jawatankuasa Kabinet itu dijangka memperkemas dasar, strategi dan pendekatan kerajaan dalam membina ekosistem yang kondusif bagi memastikan produk Malaysia menjadi pilihan utama pengguna serta lebih berdaya saing di pasaran domestik dan antarabangsa.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu adalah sejajar dengan matlamat pelaksanaan Festival JOM MALAYSIA untuk melonjakkan promosi, penggunaan dan pembelian produk tempatan menerusi kerjasama strategik di antara kerajaan Pusat dan negeri.

Program JOM MALAYSIA selama tiga hari bermula semalam itu menghimpunkan lebih 100 usahawan tempatan, pemain industri dan rakan strategik.

Antara pengirisan menarik sepanjang festival itu adalah pameran informatif dasar dan program keraaan, reruai jualan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), program Jualan RAHMAH MADANI serta aktiviti hiburan dan sukan rakyat. -BH Online