KUALA BERANG: Kerajaan Pahang berjaya menyerahkan surat hak milik tanah kepada 43,600 atau 99.5 peratus peneroka FELDA di negeri itu dan akan menyelesaikan hak milik tanah kepada 200 peneroka terutama membabitkan isu tanah warisan selewat-lewatnya pada akhir tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pencapaian pengagihan surat hak milik tanah itu membuktikan kesungguhan kerajaan memastikan kebajikan peneroka FELDA terus diberi perhatian, selain menyelesaikan isu berkaitan pemilikan tanah yang dibangkitkan.
“Jika kita lihat permohonan atau permintaan peneroka supaya diberikan surat tanah milik, penyelesaiannya kira-kira 99.5 peratus.
“Seramai 43,600 peneroka sudah terima surat hak mili mereka, hanya tinggal lebih 200 kes yang membabitkan masalah warisan, tetapi kita akan selesaikan tahun ini,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Hulu Terengganu di Akademi Binaan Wilayah Timur (ABM) di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi UMNO negeri, Datuk Rozi Mamat.
Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO berkata, isu pemilikan tanah peneroka FELDA antara perkara diberi perhatian Kerajaan Pahang kerana ia membabitkan hak dan masa depan keluarga peneroka.
Beliau berkata, selain Pahang, Johor turut mencatatkan pencapaian dalam penyediaan hak milik tanah kepada peneroka dengan kira-kira 14,000 hingga 16,000 surat hak milik sudah diberikan.
“Kerajaan turut memberi perhatian keperluan generasi kedua FELDA apabila menyediakan kira-kira 16,000 tapak rumah bagi memastikan anak peneroka mempunyai peluang memiliki kediaman sendiri.
“Ini menunjukkan keprihatinan kepada rakyat dan kita sentiasa mendengar suara mereka,” katanya.
Wan Rosdy berkata, kerajaan akan terus memberi fokus kepada kebajikan rakyat termasuk golongan peneroka menerusi pelbagai inisiatif yang memberi manfaat secara berterusan. -BH Online

