Sorting by

×
Screenshot
Hantar Berita Ini:

PORT DICKSON: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan sebuah lagi kapal tangki milik PETRONAS yang diberi kelulusan melalui Selat Hormuz akan tiba di Melaka, awal Ogos ini.

Perdana Menteri berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, semalam.

Anwar menyifatkan kejayaan kapal itu tiba di tanah air sebagai kebijaksanaan dasar luar Malaysia, terutama dalam mengekalkan hubungan baik dengan Iran.

“Satu lagi kapal PETRONAS bertolak dari Yanbu, Arab Saudi, melalui Laut Merah, diberi kelulusan dan akan sampai ke Melaka pada awal Ogos.

“Alhamdulillah. Ini sebabnya dasar luar kita harus bijaksana,” katanya berucap pada Program Semarak Kenegaraan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Malek Razak Sulaiman; Panglima Tentera Darat, Tan Sri Azhan Md Othman dan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Perdana Menteri berkata, Malaysia sentiasa menjaga hubungan baik dengan negara luar, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan negara Teluk, sekali gus membolehkan rundingan dibuat jika sesuatu isu timbul.

“Apabila disekat kapal PETRONAS beberapa bulan lalu, bila mula perang (antara AS dan Iran), hubungan baik kita menyebabkan mudah saya menelefon Presiden Iran (Masoud Pezeshkian).

“Selepas menyatakan simpati, saya minta beliau melepaskan kapal PETRONAS. Antara kapal pertama yang dilepaskan melalui Selat Hormuz adalah kapal PETRONAS yang kini sampai ke Pengerang,” katanya.-BH Online