JELEBU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan pelantikan seorang pegawai khas mewakili masyarakat Orang Asli di pejabat Menteri Besar sekiranya Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, cadangan itu tidak perlu dimasukkan dalam manifesto kerana pelaksanaannya boleh dibuat menerusi pentadbiran kerajaan negeri.
Katanya, cadangan berkenaan adalah permintaan masyarakat Orang Asli yang disifatkannya munasabah, mengambil kira pendekatan sama yang sudah dilaksanakan di Pahang dan Perak.
“Ini tak perlu manifesto, ia boleh dilaksanakan secara pentadbiran. Ini adalah permintaan mereka dan saya fikir ia munasabah kerana di Pahang dan Perak jawatan itu sudah diwujudkan.
“Kita lihat hubungan terus antara kepimpinan Orang Asli dengan pejabat Menteri Besar di dua negeri berkenaan berjalan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Kampung Orang Asli Tohor, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki; calon BN DUN Chennah, Siow Kong Choon, dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor.
Ahmad Zahid berkata, pelantikan pegawai khas itu dapat mengukuhkan hubungan antara masyarakat Orang Asli dengan pentadbiran negeri, selain menjadi saluran terus bagi menyampaikan isu serta keperluan komuniti berkenaan.
Malah, beliau turut mencadangkan supaya pendekatan sama dipertimbangkan di Johor berikutan negeri itu mempunyai jumlah masyarakat Orang Asli yang ramai.
“Saya juga ingin mencadangkan supaya di Johor juga, kerana ramai Orang Asli, Menteri Besar Johor dapat melantik pegawai khas yang mewakili Orang Asli di pejabat beliau nanti, Insya-Allah,” katanya. -BH Online
