Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JEMPOL: Penyebaran maklumat di media sosial sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan setakat ini masih terkawal, dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima 16 aduan sejak kempen bermula.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata daripada jumlah itu, 14 aduan berkaitan rangkaian telekomunikasi manakala dua lagi membabitkan akaun palsu, dan kesemua aduan sedang diuruskan MCMC.

Sehubungan dengan itu, Fahmi menggesa orang ramai melaporkan kandungan dipercayai melanggar peraturan pilihan raya atau garis panduan platform media sosial kepada penyedia platform dan aduan kepada MCMC sekiranya tiada tindakan diambil.

“Hari ini hari keenam tempoh kempen dan masih berbaki lebih kurang tujuh hingga lapan hari lagi. Setakat ini keadaan di media sosial nampak masih terkawal.

“Tapi biasanya dalam tempoh 72 hingga 96 jam akan ada pecutan akhir daripada pelbagai pihak. Jadi kita harap tidak berlaku satu keadaan kebanjiran maklumat palsu terutama dalam tempoh kritikal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Ziarah Kasih MADANI di Felda Palong 1, di sini hari ini yang turut disertai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang G Manivannan.

Sementara itu, Fahmi berkata hasil lawatan ke Felda Palong 1 mendapati masalah liputan Internet di kawasan berkenaan lebih tertumpu di laluan utama menuju ke skim rancangan Felda, bukannya di dalam kawasan penempatan itu sendiri.

Beliau berkata MCMC telah diminta mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah berkenaan memandangkan ia bukan sahaja menjejaskan kemudahan komunikasi, malah boleh memberi kesan kepada aspek keselamatan sekiranya berlaku kecemasan.

Fahmi berkata walaupun syarikat telekomunikasi telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) mengenai perkongsian rangkaian tahun lepas, pelaksanaannya masih belum cukup pantas bagi menyelesaikan masalah liputan di kawasan berpenduduk.

Beliau berkata penyelesaian yang dikenal pasti termasuk pembinaan menara baharu, pengoptimuman menara sedia ada dan penggunaan kemudahan satelit seperti Starlink sebagai penyelesaian sementara.

Katanya, syarikat telekomunikasi turut diminta menambah baik sistem maklum balas kepada pelanggan, termasuk memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membolehkan pengguna menyemak status aduan mereka.

Pengundian bagi PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 1 Ogos, manakala undian awal pada 28 Julai. – BERNAMA