Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Agenda pemerkasaan masyarakat India perlu memberi keutamaan kepada pendidikan berkualiti, kebajikan menyeluruh, peningkatan kemahiran dan penyediaan peluang pekerjaan yang lebih baik, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi catatan di Facebook, Anwar berkata perkara itu ditegaskan dalam pertemuan beliau bersama ketua-ketua masyarakat India hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menggesa Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan semua agensi berkaitan agar lebih proaktif di peringkat akar umbi.

“Saya turut mengingatkan agar MITRA dan semua agensi berkaitan terus turun padang mendekati masyarakat, mengenal pasti keperluan sebenar di lapangan dan memastikan setiap inisiatif dilaksanakan memberi manfaat kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Perdana Menteri berkata pendekatan berteraskan ihsan, kebertanggungjawaban dan tadbir urus yang baik penting bagi memastikan tiada mana-mana kelompok tercicir daripada arus pembangunan negara.

Anwar berkata pendekatan itu juga akan memastikan semua rakyat mempunyai peluang yang adil untuk melakar masa depan lebih baik.– BERNAMA