Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEPANG: Isu kekurangan kemudahan penginapan di beberapa politeknik susulan peningkatan ketara permohonan kemasukan pelajar akan diberi perhatian segera dengan kerajaan sedang mengambil langkah penambahbaikan termasuk menjalankan kerja baik pulih asrama.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata keadaan itu berlaku susulan peningkatan permohonan ke politeknik dan institusi kemahiran selepas kerajaan menggalakkan lebih ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

“Pertama saya ingin berikan dari sudut yang positif dulu. (Peningkatan permohonan) ini hasil daripada usaha kerajaan untuk menggalakkan lebih ramai pelajar lepasan SPM memilih bidang yang berkaitan dengan teknikal iaitu kursus yang ditawarkan di peringkat politeknik dan juga institusi kemahiran yang lain.

“Nampaknya pertama kali dari segi permohonan (catat) 125 peratus. Jadi kita menyediakan tempat kepada mereka,” katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Presiden Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) 2026, di sini, hari ini.

Zambry berkata peningkatan kemasukan itu menyebabkan beberapa politeknik berdepan kekangan kemudahan penginapan, khususnya institusi yang mempunyai bangunan asrama lama dan memerlukan penyelenggaraan.

Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil maklum mengenai perkara itu dan sedang mengenal pasti lokasi yang memerlukan kerja baik pulih, terutama asrama yang telah lama dibina dan uzur, bagi memastikan kemudahan penginapan pelajar berada dalam keadaan lebih baik.

“Kita (KPT) telahpun memohon kepada kerajaan supaya baik pulih beberapa tempat (politeknik) yang dikenal pasti agak uzur, perlu pembaikan. Insya-Allah kita usahakan untuk selesaikan,” katanya.

Beliau berkata perkembangan itu merupakan petanda positif kerana sebelum ini terdapat politeknik dan institusi TVET yang berdepan kekosongan tempat, namun situasi berubah apabila permohonan kemasukan kini meningkat dengan ketara.

Media sebelum ini melaporkan seramai 30,488 pelajar baharu mendaftar di politeknik di seluruh negara bagi sesi 1 2026/2027 pada 22 Jun, yang merekodkan pencapaian melebihi 125 peratus.

Susulan itu, Zambry telah meminta Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Shamsuri Abdullah untuk mengambil langkah segera berkaitan penempatan dan hal berkaitan.– BERNAMA